Oleh Siti Fatimah Ishak
Umat Islam tidak dilarang masuk rumah ibadat penganut agama lain

BANGI
– Pendakwah bebas, Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah mengkritik tindakan
Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disifatkannya keterlaluan, apabila memakai
topi Sikh bersimbol khanda, kononnya untuk menghormati agama lain.
Pada hematnya, Presiden PKR yang juga
calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port
Dickson itu sudah melakukan sesuatu yang bercanggah dengan Islam.
Mengakui tidak salah untuk masuk ke rumah
ibadat Sikh, Gudwara, beliau berkata, yang menjadi masalah apabila
Anwar memakai topi Sikh berlambang khanda.
“Kenapa harus memakai lambang keimanan
orang Sikh. Di tengah simbol tersebut terdapat pedang yang bermata dua
yang melambangkan kekuatan Tuhan yang mengawal seluruh alam semesta.
“Ia adalah kedaulatan hidup dan mati.
Salah satu pedang melambangkan keadilan Tuhan, bertindak menghukum dan
menyeksa mereka yang melakukan kejahatan. Di sisi lambang khanda
melambangkan kebebasan yang diatur oleh nilai-nilai moral dan spiritual.
“Di luar pedang bermata dua, iaitu
sebelah kiri adalah pedang kedaulatan spiritual. Manakala, sebelah kanan
adalah pedang kedaulatan politik.Kedua-duanya harus mempunyai
keseimbangan.
“Keseimbangan ini terdapat dalam
lingkaran simbol tersebut yang dikenali sebagai Chakra. Chakra adalah
simbol kesatuan manifestasi Tuhan, baik segala sesuatu, segala
keinginan, tanpa awal dan akhir, abadi, dan mutlak,” katanya ketika
dihubungi Ismaweb.net.
Beliau berkata demikian ketika diminta
mengulas tindakan Anwar memakai lambang khanda ketika hadir beramah
mesra bersama masyarakat Sikh di rumah ibadat mereka, Gurdwara Saheb di
Port Dickson, baru-baru ini.
Mengulas lanjut Ridhuan Tee berkata,
tidak ada salahnya orang Islam masuk ke rumah ibadat orang bukan Islam,
seperti gereja, kuil dan tokong sekiranya mempunyai tujuan.
“Jika tidak, susahlah hidup kami sebagai
mualaf, apabila ibu bapa tidak Islam meminta pertolongan untuk
menghantar mereka ke rumah ibadat tersebut. Sebagai seorang anak, ketika
ibu bapa masih hidup saya sentiasa menemani ibu saya ke tokong dan
tanah kubur orang Cina.

“Begitu juga dalam subjek pembelajaran
dan pengajaran subjek Tamadun Islam Tamadun Asia (TITAS), bagi mendapat
markah yang lebih baik, saya sentiasa menggalakkan pelajar saya membuat
kajian di gereja, kuil dan tokong.
“Tidak cukup dengan itu, saya juga
menggalakkan mereka melakukan kerja-kerja gotong-royong di sana,
termasuk tanah perkuburan bukan Islam,” katanya.
Namun, Ridhuan Tee berkata, ia berbeza dengan situasi Anwar, yang mana ianya lebih kepada untuk meraih undi dan kuasa.
Beliau bersetuju dengan PAS bahawa tidak
ada masalah kepada umat Islam untuk memasuki rumah ibadat agama lain
selagi tidak mengikuti upacara agama itu.
“Persoalannya, kenapa sampai sanggup
memakai topi berlambangkan agama mereka? Kerana mahukan undi kita
sanggup lakukan apa sahaja, termasuk memakai lambang atau simbol agama
orang lain. Adakah ini dibenarkan?
“Yakinlah! Islam tidak rigid sehingga
melarang penganut memasuki kawasan rumah ibadat orang lain, tetapi
memakai simbol sudah keterlaluan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan