Isnin, 1 Oktober 2018

Mohamad Fuzi beri keterangan perbicaraan petisyen pilihan raya DUN Rantau

MALAYSIAKINI

   

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun hari ini hadir di Mahkamah Khas Pilihan Raya Seremban bagi memberi keterangan pada perbicaraan petisyen pilihan raya difailkan Dr S Streram, calon PKR bagi kerusi dewan undangan negeri (DUN) Rantau di kawasan Parlimen Rembau.

Mohamad Fuzi, 59, selaku saksi kesembilan, juga merupakan saksi terakhir bagi pihak pempetisyen.

Mohamad Fuzi memberitahu mahkamah hari ini semasa hari penamaan calon pilihan raya bagi DUN Rantau pada 28 April lepas, beliau dimaklumkan Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Noor Azam Jamaludin bahawa Pegawai Pengurus Pilihan Raya Rantau, Amino Agus Suyub telah meminta bantuan polis menghalang Dr Streram untuk membuat pendaftaran.

Dalam keterangannya beliau turut menjelaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai persefahaman tanggungjawab dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa aspek keselamatan kawasan penamaan calon di bawah pihak PDRM manakala isu berkaitan proses penamaan calon dikendalikan SPR khususnya oleh pengurus pilihan raya.

Dalam keterangan selama lebih setengah jam di hadapan Hakim Datuk Azimah Omar itu, Mohamad Fuzi berkata oleh kerana aspek keselamatan dipertanggungjawab kepada PDRM, jika ada permohonan tertentu seperti menghalang bakal calon, ia akan dikuatkuasakan.

Mohamad Fuzi berkata demikian ketika disoal peguam Dr Streram, Hanif Kathri Abdulla.

Sementara itu, ketika disoal balas peguam Datuk Hafarizam Harun yang mewakili responden pertama Datuk Seri Mohamad Hasan Mohamad Fuzi menjelaskan beliau bertanya kepada Noor Azam sebab apa bakal calon terbabit tidak dibenarkan mendaftar sebagai calon.

Menurut Mohamad Fuzi, jawapan diberikan Noor Azam jelas iaitu berpunca daripada Dr Streram tidak membawa atau memakai pas yang disyaratkan SPR pada hari tersebut.

Terdahulu Mohamad Fuzi ditanya sama ada beliau bersetuju dengan arahan atau maklumat yang diterima daripada Noor Azam berkenaan isu DUN Rantau ialah tentang ketiadaan pas untuk masuk ke dewan penamaan calon, dan sejauh mana laporan diterima beliau daripada Noor Azam.

Dr Streram dalam petisyennya menamakan Mohamad Fuzi sebagai responden pertama; pegawai pengurus pilihan raya bagi kawasan Parlimen Rembau Amino Agus reponden kedua dan SPR responden ketiga.

Pakar bius itu selaku pempetisyen memfailkan petisyen pada 23 Mei lalu untuk menuntut perintah supaya satu pilihan raya kecil diadakan dengan serta-merta setelah mendakwa penyandangnya tidak dipilih secara sah dan terbatal.

Dr Streram yang didakwa gagal menunjukkan pas calon ketika hendak mendaftar sebagai calon kawasan itu di Rembau mendakwa SPR gagal memberitahunya semasa mengambil borang pencalonan dan membayar deposit untuk mengambil tag nama atau pas masuk ke dewan pencalonan pada hari pencalonan.- Bernama


Tiada ulasan: