Isnin, 15 Oktober 2018

Isu Uyghur sensitif, tak boleh bincang di Parlimen, kata Saifuddin





KUALA LUMPUR: Menteri Luar Negeri Datuk Saifuddin Abdullah hari ini mendedahkan kerajaan tidak mahu membincangkan penindasan etnik Uyghur oleh China di Dewan Rakyat kerana ia isu sensitif.

Beliau memberi jaminan Putrajaya sedang membincangkan perkara itu dengan Beijing.

“Kita sedang bincang dengan China. Kita minum kopi selepas ini,” katanya menjawab pertanyaan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) tentang pendirian kerajaan berhubung penindasan etnik Uyghur.

Saifuddin berkata demikian ketika sesi pengulungan usul mengangkat ucapan Tun Dr Mahathir Mohamad di Perhimpunan Agung Bangsa-bangsa Bersatu ke-73 sebagai “kerangka” dasar luar negara Malaysia Baharu.

Khairy bagaimanapun membidas jawapan Saifuddin dan menyeru kerajaan mengambil serius penindasan etnik Uyghur.

“Mana boleh minum kopi! Ini polisi luar negara,” katanya.

Saifuddin bagaimanapun berkata isu sensitif itu mesti diselesaikan secara tertutup tanpa dibentang di Dewan Rakyat dan liputan media.

“Ada masa, ada benda kita tidak boleh sebut dengan media. Jadi ini antara perkara yang saya minta dikecualikan, pada masa ini, daripada disebut secara terbuka di Dewan,” katanya.

Terdahulu, Khairy menyifatkan ucapan Tun Dr Mahathir Mohamad di PBB 29 September lalu “lompong” kerana langsung tidak sentuh tindakan China menindas etnik Uyghur.

Khairy berkata kerajaan nampaknya masih lagi tidak mempunyai pendirian jelas tentang kelakuan kuasa besar Asia itu.

China dituduh melakukan pencabulan hak asasi manusia di Xinjiang, mendera tahanan Uyghur dan mengawal agama dan budaya mereka secara ketat.

Beijing menafikan semua salahlaku.

Tiada ulasan: