DUN JOHOR | Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini mengingatkan semua anggota dewan undangan negeri (ADUN) supaya menjaga adab dan tatatertib ketika berbahas.
Sultan Ibrahim bertitah setiap ADUN hendaklah bersikap terbuka dan mendengar pendapat orang lain, bukannya terus menolak segala cadangan yang tidak selari dengan kehendak politik atau kepentingan diri sendiri.
"Saya tidak mahu dewan ini (Dewan Undangan Negeri - atau DUN - Johor) dijadikan seperti sarkas.
"Saya harap speaker dewan negeri akan menjalankan tugasnya dengan cekap dan tegas bagi memastikan perbahasan dibuat dengan berhemah dan teratur.
"Sekiranya ada ahli-ahli dewan yang bertindak melampau batas dan melanggar peraturan, maka arahkan mereka supaya keluar dewan," titah baginda ketika merasmikan pembukaan Penggal Persidangan Pertama DUN Johor ke-14 di Bangunan Sultan Ibrahim di Johor Bahru hari ini.
Berangkat sama, Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim dan Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim.
Sultan Ibrahim bertitah sebagai raja yang memerintah, baginda akan sentiasa memantau kerajaan negeri, memberikan nasihat serta pandangan kepada menteri besar serta kerajaan pimpinannya.
Sultan Johor bertitah, perkara utama yang suka baginda tekankan ialah tentang pengurusan kewangan kerajaan yang cekap dan berhemah supaya dapat dikawal supaya tidak melebihi hasil pendapatan .
Baginda turut mengingatkan kerajaan negeri supaya berhati-hati apabila membuat keputusan dan tidak terpengaruh dengan desakan orang luar yang tidak tahu sejarah serta cara pentadbiran negeri Johor.
"Baca dan fahami setiap perkara yang terkandung dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan 1895 yang menjadi asas kepada pembentukan dan kemajuan negeri Johor sehingga ke hari ini," titah baginda.
Sultan Johor dalam pada itu bertitah persidangan DUN ke-14 melakar sejarah kerana buat pertama kalinya berlaku perubahan yang menyeluruh barisan kepimpinan kerajaan negeri apabila majoriti anggota dewan mewakili parti gabungan Pakatan Harapan.
Baginda bertitah, perubahan berkenaan bukan bermakna wujudnya satu kerajaan yang baru tetapi hanyalah barisan kepimpinan baru atau 'kerajaan memerintah' yang mentadbir kerajaan Johor dengan asas tujuan yang kekal sama iaitu menjamin kemakmuran negeri dan kesejahteraan hidup rakyat.
"Oleh yang demikian, mana-mana program yang baik yang telah dibuat oleh pentadbiran dahulu perlulah dikekalkan atau ditambah baik, bukannya terus dihentikan," titah baginda yang turut merakamkan tahniah kepada semua ADUN yang telah dipilih oleh rakyat sebagai wakil rakyat.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan