Jumaat, 10 Ogos 2018

Mahkamah tolak permohonan larang media ulas kes Najib

MALAYSIAKINI



Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk mendapatkan perintah melarang media dan orang awam daripada membincangkan merit kesnya.

Sebaliknya, Hakim Nazlan berkata undang-undang menghina mahkamah dan memfitnah boleh digunakan.

"Permohonan ditolak dan melanggar kebebasan bersuara. Justeru, permohonan itu ditolak, katanya.

Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata beliau akan memfailkan rayuan berhubung keputusan itu.

Sementara itu Bernama melaporkan hakim mendapati permohonan Najib sebagai tidak kukuh dan dengan itu menolak notis usul bagi perintah larangan.

“Lagipun, terma spesifik bagi perintah larangan yang dimohon, dalam kes ini, jika diberikan akan menjejaskan hak perlembagaan untuk kebebasan bersuara dan berucap di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan serta terkeluar daripada keadilan bagi prinsip keadilan terbuka dalam Seksyen 15 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

“Ini adalah sebahagian daripada asas teknikal bahawa skop bagi perintah larangan yang dicadangkan di dalam notis usul itu adalah tidak konsisten dan dalam keadaan ini, saya berpendapat ia tidak menggalakkan objektif undang-undang sebagai instrumen keadilan. Mengambil kira alasannya yang pelbagai, saya dengan ini menolak permohonan ini,” katanya.

Beliau juga berkata walaupun mahkamah mungkin mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan perintah larangan dengan mengambil kira perintah itu dibenarkan dalam kes sebelum ini, penentuan sebenar terhadap perbicaraan adil dan pentadbiran keadilan membawa kepada mahkamah untuk merumuskan bahawa permohonan itu tidak boleh berjaya berdasarkan alasan berkenaan.


Tiada ulasan: