PEMILIHAN PKR | Menjawab soalan sama ada beliau sebahagian daripada kem Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata kesetiaannya adalah terhadap "kem Keadilan".
Beliau juga berkata berkenaan gerakan Reformasi, saat paling genting adalah pada 1999, selepas pemecatan Anwar daripada kerajaan setahun sebelumnya dan pemenjaraannya selepas itu.
"Apabila mereka bercakap tentang Reformasi, cabaran sebenar Reformasi adalah pada 1999, dan sekurang-kurangnya untuk sepuluh tahun pertama. Saya ada di sana.
"Saya sentiasa setia terhadap perjuangan. Anggota (PKR) telah melihat tindakan saya, saya telah bekerja untuk parti.
"Jadi saya akan biarkan mereka membuat keputusan," kata menteri hal ehwal ekonomi itu.
Azmin mengulas pemilihan PKR yang bakal menjelang, di mana beliau akan berdepan dengan Rafizi Ramli bagi mempertahankan jawatan timbalan presidennya.
Rafizi - dengan kemnya mendakwa disokong Anwar - menyifatkan pemilihan kali ini sebagai pertembungan antara "ahli politik (career politician) dengan reformis".
Sebelum ini terdapat spekulasi Azmin mungkin mencabar Anwar untuk jawatan presiden.
Ia seiring dengan spekulasi Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menjadikannya untuk menyekat Anwar, dan itulah sebabnya Azmin diberi jawatan menteri hal ehwal ekonomi - portfolio yang memberikannya kuasa besar.
Mahathir dan Azmin menafikan dakwaan itu.
Anwar pula menang jawatan presiden tanpa bertanding.
Sementara itu, Azmin berkata beliau tidak boleh meramalkan bagaimana 80,000 anggota PKR akan mengundi bagi jawatan timbalan presiden.
Bagaimanapun beliau tidak melihat keperluan untuk berkempen secara berlebihan.
"Saya tak perlu kempen sekarang, saya sudah bersama parti sejak 20 tahun lalu.
"Mengapa anda tiba-tiba jangka saya akan turun ke lapangan. Ahli telah kenal saya 20 tahun," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan