Khamis, 2 Mac 2017
Sudah sampai masanya perundangan Islam ditegakkan
Oleh AZIZ MUDA
KEJAYAAN PAS menganjurkan perhimpunan Akta 355 di Padang Merbok di ibu kota Kuala Lumpur pada 18 Februari lalu dengan disertai ratusan ribu orang dari seluruh negara, sememangnya menjadi kayu ukur tentang keinginan rakyat untuk bersama-sama PAS mengangkat martabat mahkamah syariah bagi membolehkan undang-undang Islam dilaksanakan di negara ini.
Dalam masa yang sama, ia juga turut membuka mata pihak-pihak yang menentang usul pindaan tersebut agar sedar diri supaya tidak terus terperangkap dengan kebodohan serta kejahilan diri dengan bersama-sama memahami realiti sebenar keperluan rakyat kerana semakin kuat mereka menentang semakin kuat pula sokongan serta dukungan rakyat terhadap usaha PAS itu.
Seperti yang diketahui umum malah menjadi viral di media sosial, sebelum tiba detik perhimpunan itu, pelbagai pihak yang tidak senang dengan usaha PAS untuk mendaulatkan Islam di negara ini telah mengemukakan pelbagai pandangan yang negatif. Fokus pandangan mereka jelas untuk memperlekeh, mempersenda, menuduh, malah sehingga ke peringkat memfitnah PAS dengan pelbagai dakwaan yang tidak berasas.
Terdapat pula mereka yang mengemukakan pandangan yang negatif itu yang jauh tersasar, apabila pindaan yang sedang diusahakan oleh PAS itu turut dibaca dengan hukuman terhadap pencuri dan pelaksanaan hudud yang membawa kepada hukuman potong tangan pencuri, rejam dan sebagainya walaupun ia jelas menyimpang daripada matlamat pindaan terhadap undang-undang tersebut.
Lebih jauh dari itu dan yang amat menyedihkan, disebabkan terlalu terpengaruh dengan emosi, kebencian terhadap PAS, kebodohan, kejahilan diri walaupun pada zahirnya kelihatan bertaraf sebagai orang yang berpengetahuan tinggi dalam agama, mereka sampaikan sanggup mempersendakan perintah dan hukum Allah, apabila undangundang Islam disifatkan zalim, ketinggalan zaman dan faktor kemunduran bagi negara.
Dengan membuat andaian seperti itu, mereka secara automatik menyifatkan undangundang ciptaan manusia lebih hebat daripada undang-undang Allah sendiri, walaupun individu itu sendiri tahu, Allahlah pencipta kita dan Allahlah yang lebih tahu daripada kita sendiri mengenai kita dan keperluan kita. Dengan itu, tentunya tiada sebab untuk kita menolak undang-undang Allah.
Kesemua pandangan negatif itu dikemukakan atas matlamat yang sama. Masing-masing ingin melihat usaha PAS untuk mengadakan perhimpunan itu gagal. Jika diadakan juga tidak akan disertai orang ramai. Dengan itu, mereka pasti mempunyai hujah yang kuat untuk menolak usaha PAS bagi meminda Akta 355 bagi mempengarahi ahli-ahli Parlimen di luar PAS agar tidak menyokong usul tersebut pada persidangan Dewan Rakyat pada bulan Mac nanti.
Setelah hujah-hujah mereka berjaya dipatahkan oleh pemimpin PAS, mereka menciptakan pula pelbagai alasan dan dalih, walaupun turut dikatakan hujah oleh mereka.
Namun apabila perhimpunan Akta 355 berjaya diadakan dengan disertai ratusan ribu orang sehingga menjadikan kota raya Kuala Lumpur berwarna ungu pada 18 Februari lalu, mereka terus diam. Mereka bagaikan terpaku dan hilang punca sehingga tidak dapat bersuara lagi, melainkan mereka yang gagal berfikir lebih jauh.
Apa tidaknya. Jika terus bersuara membantah usaha itu, mereka tentunya hanya tidak lebih daripada terus memperbodohkan diri sendiri kerana mereka sendiri telah sedar walau ditentang sehebat mana sekalipun, rakyat tetap menolak pandangan mereka itu kerana rakyat sendiri sememangnya mahu undangundang Islam ditegakkan di tanah air sekarang.
Malah jika terus ditentang lagi, mereka secara automatik menolak pengundi-pengundi Melayu atau pengundi-pengundi Islam menyokong mereka.
Lantaran itulah juga, Umno- BN sendiri yang sememangnya sudah jelas mentadbir negara ini dengan sekularisme turut gagal menolak usaha PAS itu kerana telah disedarinya jika ditolak bererti akan menjauhkan pengundi Islam daripada parti mereka sendiri. Keinginan rakyat untuk melihatkan undang-undang Islam dilaksanakan di negara ini selain daripada ingin mendaulatkan hukum Allah, juga bertolak dari realiti yang terpampang di hadapan mata mereka sendiri. Undangundang ciptaan manusia yang diamalkan di negara ini sejak dulu ternyata gagal mengatasi segala masalah yang berlaku dalam negara termasuk yang melibatkan rasuah, sosial, zina dan sebagainya, melainkan jika digantikan dengan perlaksanaan undang-undang Islam untuk mengatasi dan mencegahnya.
Kegagalan undang-undang ciptaan manusia yang diamalkan di Barat dalam mengatasi pelbagai masalah yang berlaku di negara-negara berkenaan, walaupun dibaca terbalit dengan pelbagai manipulasi fakta oleh mereka yang tidak bersetuju dengan perlaksanaan undangundang Islam, turut membuka mata rakyat negara ini untuk menyokong dan mendukung usaha PAS itu.
Walaupun usaha pindaan Akta 355 hanya membabitkan beberapa kesalahan sahaja atau sebahagian kecil daripada undang-undang Islam sahaja, sokongan yang diberikan oleh rakyat terhadap usaha PAS untuk meminda Akta 355 bagi memperkasakan mahkamah syariah itu, telah menjadi bukti bahawa rakyat negara ini khususnya yang beragama Islam sememangnya bersetuju jika undang-undang Islam dilaksanakan di negara ini.
Lebih menyerlahkan realiti itu, perhimpunan Akta 355 yang berlangsung pada 18 Februari lalu sememangnya bukan perhimpunan PAS, bukan perhimpunan bermotif politik, tetapi atas nama Islam. Atas kesedaran itulah, ia turut disertai pelbagai lapisan umat Islam, tua, muda, lelaki dan perempuan yang turut melibatkan tokoh tertinggi kerajaan seperti menteri, mufti, bekas-bekas menteri, wakil rakyat, pegawai kerajaan berpangkat Jusa, tokohtokoh dari NGO berpengaruh seperti para ayahanda Pekida, Perkasa, artis dan pelbagai lapisan masyarakat.
Justeru, amat tepatlah ulasan Ketua Penerangan PAS Pusat yang juga bekas Pengarah Himpunan 355, Ustaz Nasrudin Hassan pada 19 Februari lalu, himpunan yang telah berjaya mengumpulkan ratusan ribu warga yang cintakan kesejahteraan rakyat dan keamanan negara itu menjadi isyarat yang sangat jelas bahawa telah sampai masanya Islam dikembalikan ke tampuknya yang tinggi mengatasi ideologi yang dicipta oleh manusia untuk memulihkan kesejahteraan rakyat.
Selain itu, katanya yang juga Ahli Parlimen Temerloh, rakyat mahu Islam diberi peluang pelaksanaannya melalui pemerkasaan syariah untuk memulihkan keamanan negara. Tiada siapa lagi yang boleh mempersenda dan memperlekehkan Islam. Justeru Islam adalah agama yang membawa keadilan sejagat dan kesejahteraan ummah.
Perhimpunan itu sendiri telah secara jelas menyaksikan ikrar para pejuangnya bersatu di atas kalimah yang sama.
Amat benar juga ulasan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dalam kenyataannya pada 19 Februari lalu, mereka yang menentang usul pindaan Akta 355 itu, khususnya yang bukan beragama Islam, bukan kerana takut terhadap isi pindaan akta tersebut kerana ia hanya perkara kecil dan tidak menyentuh mereka walau sedikit pun, malah mereka akan kekal hidup aman seperti biasa.
“Tetapi, yang mereka takutkan ialah kembalinya umat kepada Islam. Produk mereka tidak lagi akan laku dan laris. Sekular, liberal, kapitalis, sosialis dan hidup bebas tanpa ikatan agama semuanya akan menuju kubur dan dikambus. “Yang mereka takutkan ialah kesatuan umat Islam. Dengannya, perancangan buruk mereka ke atas umat Islam akan pecah terburai dan gagal.
Itu baru Umno sokong usul PAS di parlimen dan sokong H355. Bagaimana selepas ini jika orang-orang Umno dan pemimpinnya mula menerima dan rela jika PAS menang lebih baik dan lebih besar sehingga 40 kerusi parlimen atau lebih? Bukankah kesatuan hati umat Islam itu besar kesannya untuk kesejahteraan Malaysia.
“Anda menuntut aulawiyat dan keutamaan dalam perlaksanaan syariat Islam? Nah, inilah aulawiyat perlaksanaan. Kesatuan umat di atas nama Islam. Membina kesatuan itu lebih sukar daripada melaksanakan syariah Islam. Hari ini PAS menghampiri keduaduanya dengan izin Allah,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, yang tertinggi adalah iman dan ilmu. Iman yang bersinar menjelmakan takwa. Ilmu yang banyak menjelmakan fiqh. Dengannya wujudlah para ulama yang bertakwa dan faqih dalam agama.
“PAS sentiasa meninjau permasalahan umat dari semua sudut. PAS membina diri dan ahlinya dengan iman dan ilmu yang dituntut agama.
Sekarang tiba masanya PAS menggabungkan kuasanya dengan kuasa umat Islam seluruhnya. Ia bukan anganangan. Ia adalah tuntutan demi kekuatan dan kejayaan umat menuju agama dan reda Allah,” ujar beliau.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan