Bernama ·
JOHOR
BAHRU – Projek Rumah Impian Bangsa Johor Yayasan Sultan Ibrahim, yang
juga hasil cetusan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar
bakal menyaksikan rakyat negeri ini berpeluang memiliki rumah sendiri
daripada serendah RM80,000.
Presiden dan Ketua Eksekutif
Johor Corporation (JCorp) Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim berkata
inisiatif itu bukan setakat satu projek perumahan semata-mata tetapi ia
adalah satu inovasi baharu dalam sektor perumahan yang boleh menjadi
pencetus perubahan dalam sektor itu.
“Ini kerana, Rumah Impian
Bangsa Johor bukan sahaja dijual pada harga berpatutan malah jauh lebih
murah berbanding harga pasaran sekarang.
“Semua ini adalah hasil
cetusan idea daripada Duli Yang Maha Mulia Tuanku sendiri malah bagaikan
hadiah kepada sekalian rakyat Johor sempena Sambutan Ulang Tahun Hari
Keputeraan Rasmi Tuanku,” katanya ketika berucap pada majlis
prapelancaran inisiatif berkenaan di Galleria Kota Raya hari ini.
Turut berkenan mencemar duli ke majlis itu Sultan Ibrahim serta Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris.
Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta barisan exco kerajaan negeri turut hadir.
Prihatin
dengan sesetengah rakyat yang mungkin dihimpit dengan kekangan
kewangan, Yayasan Sultan Ibrahim juga bekerjasama dengan Bank Rakyat
untuk kemudahan pembiayaan kepada bakal pembeli.
“Bagi tujuan itu,
Bank Rakyat bersetuju memperuntukkan dana berjumlah RM500 juta untuk
kemudahan pembiayaan rumah berharga daripada serendah RM80,000 seunit
dalam program ini.
“Lebih menarik lagi, pembeli yang layak hanya
perlu membayar wang deposit serendah RM1 dengan tawaran pinjaman 100
peratus,” kata beliau.
Kamaruzzaman berkata projek itu akan
dilaksanakan oleh syarikat dalam kumpulannya, Johor Land Bhd secara
usahasama dengan dua syarikat lain di dua kawasan iaitu Bandar Dato’ Onn
dan Bandar Baru Majidee.
Di Bandar Dato’ Onn, projek itu yang
akan dikategorikan sebagai Rumah Impian Sultan Ibrahim, akan dibina di
atas kawasan seluas 21.32 hektar melibatkan lebih 520 unit rumah.
Harga
rumah di kawasan itu yang terdiri daripada rumah teres, rumah berkembar
dan rumah sesebuah bermula daripada RM80,000 sehingga RM100,000,
dijangka mula dibina sebelum hujung tahun ini.
Sementara itu,
sejumlah 320 unit rumah terdiri daripada dua blok kediaman,
masing-masing mempunyai 12 tingkat kediaman, akan dibina di atas tanah
seluas 2.75 hektar di Bandar Baru Majidee.
Dengan harga kurang
daripada RM150,000 seunit, kerja-kerja pembinaan dijangka bermula pada
pertengahan tahun ini dan dijangka siap pada penghujung 2019.
Selain
itu, Kamaruzzaman berkata sebuah projek lagi sedang dirancang oleh
Mutiara S’City Sdn Bhd di tanah rizab Melayu di kawasan Bukit Saujana,
seluas 3.055 hektar melibatkan 1,000 unit rumah.
Harga jualan dijangkakan daripada RM297,000 hingga RM420,000.
“Lebih
menarik, kesemua jenis rumah dengan harga jualan berpatutan ini akan
turut dilengkapi kemudahan lain seperti televisyen, peti sejuk, mesin
basuh dan cook top. Ini sekali gus menggambarkan kesesuaian gelarannya
sebagai Rumah Impian Bangsa Johor,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan