Khamis, 23 Mac 2017

PRU14: Nasib tiga wakil rakyat PH masih tanda tanya

ANTARAPOS.COM
Post Pic
 
 
PETALING JAYA: Tiga wakil rakyat Pakatan Harapan mungkin tidak dapat bertanding pada pilihan raya umum akan datang sekiranya rayuan terhadap pensabitan mereka tidak didengari segera.
 
Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad dari Amanah, Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli (PKR) dan Ahli Parlimen Batu Tian Chua (PKR) ternanti-nanti tarikh rayuan mereka.
 
Selagi rayuan mereka tidak didengarkan, mereka tidak tahu sama ada pensabitan mereka diringankan sekaligus membolehkan mereka bertanding nanti.
 
Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan menyebabkan seseorang hilang kelayakan menjadi ahli Parlimen selama 5 tahun jika beliau disabitkan suatu kesalahan dan dihukuman dengan pemenjaraan selama tempoh tidak kurang daripada 1 tahun atau denda RM2,000.
 
Mereka bertiga tidak akan dapat bertanding pada PRU14 kecuali mahkamah rayuan mengetepikan pensabitan atau mengurangkan denda kepada bawah RM2,000 dan tempoh pemenjaraan kurang daripada 1 tahun sebelum Dewan Rakyat dibubarkan.
 
Memetik laporan FMT, Peguam Rafizi, Chua Tsu Fae berkata hakim perbicaraan belum menyediakan penghakiman bertulis untuk kes anak guamnya.
 
Mengikut arahan mengenai amalan oleh ketua hakim, hakim Mahkamah Tinggi dan mahkamah rendah perlu menyediakan penghakiman bertulis dalam masa 8 minggu selepas rayuan dibuat.
 
Mahkamah, pada 14 September tahun lepas, mendapati Rafizi bersalah dan dijatuhi hukuman 18 bulan penjara kerana mendedahkan laporan sulit audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
 
Beliau memfailkan rayuan dalam tempoh masa 14 hari yang ditetapkan.
 
Rafizi, yang juga naib presiden PKR, dibebaskan dengan ikat jamin RM6,000 sementara menunggu keputusan rayuannya.
 
Pada 19 Januari, Khalid didenda RM2,900 oleh mahkamah rendah syariah kerana mengajar Islam tanpa tauliah di suatu acara di sebuah surau di Kapar, Selangor, 6 tahun lalu.
 
Beliau memfailkan rayuan dengan segera selepas pensabitan itu tetapi Mahkamah Tinggi syariah tidak dapat menetapkan tarikh pendengaran rayuan kecuali ada penghakiman bertulis.
 
“Tarikh belum ditetapkan. Penghakiman bertulis juga belum ada,” kata Khalid.
 
Peguam syariah Mohd Amir Shahril Bahari berkata hakim perbicaraan perlu menyediakan penghakiman bertulis dalam masa 1 bulan apabila rayuan difailkan.
 
Pada 9 Mac, Tian Chua didenda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen selepas didapati bersalah mengaibkan pegawai polis DSP Glenn A Sinappah di sebuah hotel di Petaling Jaya, pada 14 April 2014.
 
Beliau didapati bersalah mengeluarkan perkataan kesat terhadap pegawai polis itu.
 
Tian Chua merayu pensabitan itu. Dalam kesnya, hakim perbicaraan masih mempunyai masa untuk mengemukakan penghakiman bertulis.
 
 

Tiada ulasan: