Isma Web
KUALA
LUMPUR – Menteri Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ismail Sabri
menjelaskan, penubuhan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) berbayar bukan
bermaksud menafikan hak pelajar cemerlang daripada golongan berada
memasuki sekolah asrama berprestij itu.
Sebaliknya,
beliau berkata, ia membuka peluang lebih besar kepada pelajar miskin di
luar bandar dan bandar memasuki MRSM sedia ada.
Cadangan
mewujudkan MRSM berbayar bertujuan membuka peluang kepada pelajar
golongan berada memasuki sekolah berkenaan seperti sekolah swasta atau
antarabangsa.
“Ketika ini, kira-kira 45 peratus pelajar yang
memasuki MRSM adalah daripada keluarga miskin atau berpendapatan kurang
RM4,000 sebulan, manakala selebihnya adalah golongan pendapatan
sederhana atau berada.
“Kalau MARA menaikkan peratusan ini
sehingga 60 atau 70 peratus, kita seperti menutup hak pelajar cemerlang
daripada keluarga berada memasuki MRSM sedangkan mereka menganggap anak
mereka juga layak diberi peluang.
“Justeru, kita bercadang
mewujudkan alternatif iaitu MRSM berbayar. Ramai yang keliru dan
menyangka ia akan mengambil MRSM sedia ada.
“Kita akan wujudkan
MRSM baharu berasingan, mungkin namanya lain, dikendalikan entiti lain
seperti bahagian yang menguruskan UniKL tetapi konsepnya untuk pelajar
golongan berada.
“MRSM sedia ada, kita buka seluasnya kepada
pelajar miskin atau kurang mampu,” katanya menjawab soalan tambahan
Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (BN-Tanah Merah) berhubung rasional
cadangan menubuhkan MRSM berbayar pada sidang Dewan Rakyat, pada Rabu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan