Laporan itu dibuat kerana pertandingan esei yang
mengaitkan Lim Kit Siang sebagai “rasis” itu akan mencetuskan kebencian
dan ancaman kepada keselamatan pemimpin DAP berkenaan.
PETALING JAYA: Seramai 9 ahli DAP termasuk pemimpin utama membuat laporan polis berhubung pertandingan menulis esei anjuran Tan Sri Annuar Musa untuk menunjukkan pemimpin DAP Lim Kit Siang seorang yang rasis.
Adun Damansara Utama Yeo Bee Yin, Ahli Eksekutif Dapsy Dyana Sofya dan Adun Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran antara ahli DAP yang membuat laporan polis di balai polis Damansara hari ini.
Mereka turut membawa plakad yang tertulis “Say no to racism” sebagai bantahan terhadap anjuran Annuar yang menyatakan esei itu perlu menggunakan tajuk “Adakah benar Lim Kit Siang seorang rasis, anti Islam dan 51 tahun diktator?”.
Hadiah yang ditawarkan kepada pemenang ialah RM10,000 tunai.
Yeo berkata laporan polis dibuat kerana Annuar yang juga ahli Palrimen Ketereh mengadakan pertandingan yang mencetuskan kebencian di kalangan rakyat Malaysia, selain mengancam keselamatan ahli politik veteran Lim Kit Siang.
“Jika orang percaya pembohongan itu, maka beliau (Lim) dalam bahaya,” kata Yeo.
Katanya, walaupun Datuk Zaid Ibrahim juga pernah mengadakan pertandingan sama terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri paling teruk di negara ini, tetapi kedua-duanya berbeza.
“Pertandingan dibuat Zaid berdasarkan kepada pencapaian, tetapi apa yang Annuar lakukan berbentuk perkauman dan mencetuskan kebencian,” katanya.
Dyana berkata Annuar pada himpunan Baju Merah 2005, sendiri mengakui dirinya rasis.
“Kami (DAP) bersetuju dengannya tetapi sekarang dia panggil Kit Siang rasis dan pertandingan ini hanya cara biasa Umno menggunakan wang dan penipuan untuk menutup perbuatan sendiri.
“Jika apa dia kata mengenai Kit Siang betul maka dia patut buat laporan polis, tetapi dia tidak buat kerana dia tidak ada bukti,” katanya.
Rajiv berkata itu memang sikap Umno menggunakan kaum untuk meraih sokongan.
“Bila pemimpin buka mulut saja, mereka akan cakap mengenai perpaduan atau perpecahan kaum dan Annuar mempromosikan perpecahan.
“Annuar patut lawan DAP mengenai perkara dasar tetapi dia menggunakan kaum kerana dia tidak ada idea dan menggunakan kenyataan perkauman untuk menakutkan orang dan mengundi Umno. Ini bukan caranya,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan