Khamis, 23 Mac 2017

Bila PAS S’gor mahu lulus usul putus hubungan dengan PKR?

Shahbudin Husin
 
Sebelum ini baharu kedengaran PAS Permatang Pauh dan Bayan Baru di Pulau Pinang saja yang meluluskan usul mahu memutuskan hubungan dengan PKR


Di sebalik Hadi Awang menafikan PAS mahu berkuasa di lima negeri, walaupun rakaman video mengenainya yang tersebar luas tidak mungkin berbohong, Ketua Pemuda PAS, Nik Abduh Nik Aziz kemudian seperti mengesahkan kebenaran kata-kata Presiden PAS itu apabila menyebut Selangor sebagai antara negeri yang ingin ditawan oleh parti Islam itu.

Kata Nik Abduh, sasaran lima negeri yang ingin ditawan, termasuk Selangor adalah sesuatu yang realistik bagi PAS.

Kenyataan Nik Abduh itu segera mendapat reaksi sinis daripada Menteri Besar Selangor, Azmin Ali yang mengaitkannya dengan kekalahan Ahli Parlimen Pasir Mas tersebut dengan hanya mendapat 37 undi dalam pemilihan PAS Pengkalan Chepa, baru-baru ini.

Kata Azmin melalui twitternya, “Ada tok lebai nak tawan Selangor. Kawasan sendiri pun kalah tersungkur.”
Susulannya, tulisan Azmin itu dibalas oleh Nik Abduh, juga dengan reaksi yang agak sinis.

“Wah, sinisan saya dapat komentar MB-lah. Jarang anak Melayu bertuah gini,” kata Nik Abduh melalui twitternya.

Apa lagi selepas ini?

Apakah perang mulut antara Azmin dengan Nik Abduh akan berterusan dan apakah cubaan PAS mahu menawan Selangor juga masih kekal?

Apakah ini tanda-tanda hubungan PAS dan PKR hanya umpama retak menunggu belah?

Selain menunggu muktamar pada 28 April nanti menentukan hubungan kedua-dua parti, mesyuarat PAS  kawasan-kawasan yang sedang berlangsung sekarang adalah medan terbaik menghantar isyarat pilihan.

Sebelum ini baharu kedengaran PAS Permatang Pauh dan Bayan Baru di Pulau Pinang saja yang meluluskan usul mahu memutuskan hubungan dengan PKR.

Jika benar mahu menawan Selangor, PAS Selangor tentunya lebih afdal meluluskan usul seperti itu.

Lebih bermakna dan pasti Nik Abduh gembira jika ada PAS kawasan-kawasan di Selangor yang belum bermesyuarat atau secara majoritinya, dapat meluluskan usul yang sama putus semua hubungan dengan PKR.

Kalau itu dapat dilakukan, barulah nampak realistik cubaan PAS mahu menawan Selangor, meskipun yang bercakapnya tersungkur hanya dengan 37 undi saja.

*Shahbudin Husin merupakan bekas naib ketua pemuda Umno

Tiada ulasan: