Rabu, 9 November 2016

Isu lebihan RM9 bilion kos projek ECRL

BNBBC, 
abdul-rahman-dahlan 


Kerajaan menafikan dakwaan kononnya RM9 bilion ‘disonglap’ daripada projek Keretapi Pantai Timur (ECRL) apabila kos pembinaan asal RM46 bilion meningkat kepada RM55 bilion.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan menegaskan, perbezaan atau peningkatan kos RM9 bilion itu adalah bagi laluan tambahan dari Gombak ke Pelabuhan Klang.

Katanya, memang harga asal projek ECRL bernilai RM46 bilion tetapi ianya untuk jajaran dari Tumpat ke Kuantan dan berhenti di zon Pantai Barat iaitu Gombak.

Ianya membabitkan pembinaan sepanjang 600 km.

“Itu cadangan awal tetapi apabila SPAD (Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat) dan agensi kerajaan lain bawa cadangan baru, ia dari Gombak ke Pelabuhan Klang sepanjang 88 km,” katanya.

Abdul Rahman menjelaskan perkara itu ketika menggulung perbahasan Bajet 2017 peringkat Jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, Selasa.

Tegas beliau, apa yang dimaklum dalam laman web China Communications Construction Company (CCCC) yang menyebut kos ECRL sebanyak RM46 bilion adalah betul bagi jajaran Tumpat ke Gombak.

“Cuma tidak disebut dari Gombak ke Pelabukan Klang yang bernilai RM9 bilion. Sebab itu jadi RM55 bilion untuk laluan sepanjang 688 km,” jelasnya.

Beliau menyelar pihak tertentu termasuk pembangkang yang cuba mengabui rakyat dengan menuduh RM9 bilion sudah disonglap oleh Barisan Nasional (BN).

Dakwaan pembangkang itu katanya jelas tidak menghormati Presiden dan Perdana Menteri China yang hadir pada majlis menandatangani perjanjian projek itu bersama-sama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

“(..Ini) seolah-olah cuba kaitkan Perdana Menteri dan dua pemimpin besar negara China itu berkonspirasi untuk menipu rakyat negara ini,”.

“Pembangkang ini tak hormati pemimpin negara China. Mereka (cuba) kaitkan kononnya RM9 bilion hilang masuk poket. Kenyataan ini tidak bertanggungjawab,” bidas Abdul Rahman.

Beliau turut menyifatkan pembangkang sebagai tidak tahu mengira apabila menuduh RM9 bilion itu hilang.

Mengenai dakwaan bahawa CCCC adalah syarikat yang disenarai hitam oleh Bank Dunia, beliau menjelaskan bahawa yang disenarai hitam adalah salah satu anak syarikat CCCC.

Katanya, ia kes lama dan senarai hitam itu akan ditarik balik pada tahun depan.

“Presiden dan PM China ada di sana, kalau CCCC dianggap syarikat bankrap tidak mungkin kedua-dua mereka akan hadir menyaksikan perjanjian tersebut,” katanya.

Tiada ulasan: