Khamis, 10 Mac 2016

Pas tidak konsisten dengan usul undi tidak percaya MB Terengganu

 HAZAYANI ZAKARIA


Datuk Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad ShahDatuk Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad Shah



Usul undi tidak percaya Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal Datuk Seri Ahmad Said terhadap Menteri Besar Terenggaanu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman merupakan peluang kepada pembangkang untuk mengambil alih kerajaan negeri, namun Pas tidak konsisten menyatakan pendirian.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, beliau yakin usul itu bukan datang secara tiba-tiba sebaliknya selepas berlakunya beberapa krisis kepercayaan terhadap Umno Terengganu.

“Ahli Umno sendiri tidak berpuas hati dengan pentadbiran menteri besar sekarang yang tidak membela rakyat terbanyak.

“Saya minta Adun-adun pembangkang khususnya Pas mengambil langkah yang sewajarnya untuk menukar kerajaan.

“Ahmad Said telah menunjuk jalan dengan penyokongnya dan PKR pun ada dan inilah peluang Pas untuk membela rakyat.

“Amanah menyokong kalau Pas mengambil langkah menukar kerajaan yang sekarang ini banyak mengenepikan kepentingan rakyat biasa,” katanya ketika ditemui di parlimen semalam.

Datuk Seri Abdul Hadi AwangDatuk Seri Abdul Hadi AwangBagaimanapun usul undi tidak percaya yang dibawa Ahad Said ditolak oleh  Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Mohd Zubir Embong yang  membuat keputusan menolak usul undi tidak percaya terhadap menteri besar dengan alasan tiada notis dikemukakan lebih awal.

Raja Baharin yang juga Pengerusi Amanah Terengganu turut membidas kenyataan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa parti itu tidak akan terlibat dalam usaha menukar menteri besar Terengganu jika ia hanya melibatkan isu perebutan jawatan.

Beliau berkata, tidak timbul isu perebutan kuasa dalam perkara ini sebaliknya inisiatif Adun sendiri yang mahu membela rakyat negeri itu yang semakin ditindas selepas berlaku pertukaran menteri besar.

“Tidak timbul soal perebutan kuasa, ini untuk kepentingan rakyat kerana kalau berlaku pertukaran kerajaan yang memerintah kemungkinan besar ialah Pas kerana Ahmad Said kemungkinan hanya tiga empat orang sahaja menyokong dan majoriti orang Pas.

“Inilah tujuan Pas masuk pilihan raya dan kalau Pas betul-betul berhasrat membela rakyat inilah peluang mereka,” katanya.

Beliau berkata, kenyataan Abdul Hadi itu ternyata bercanggah dengan situasi yang belaku di sidang Dun  apabila majoriti Adun Pas sendiri bangun menyokong usul tersebut.

“Orang Pas termasuk pesuruhjaya sendiri menyokong usul tersebit. Saya terkejut juga presiden Pas tak mahu terlibat. Banyak kenyataan yang tidak konsisten,” katanya lagi.

Justeru beliau meminta Pas menyatakan pendirian sama ada hanya ingin menjadi pembangkang atau ingin menjadi pembangkang sehingga mendapat kuasa.

“Kita mahu Pas buat pendirian, Pas hanya nak jadi pembangkang atau nak menjadi kerajaan yang membela orang tertindas.

“Inilah juga cara yang digunakan Umno untuk mereka mengambil alih kuasa dan ini dibenarkan dalam kerangka undang-undang negeri. Ini bukan satu rebel atau revolusi atau tunjuk perasaan tetapi ini proses demokrasi.

“Apa matlamat Pas berada dalam dewan. Hanya untuk membangkang atau untuk membangkang sehingga dapat memerintah untuk membela rakyat,” katanya.

Tiada ulasan: