Rabu, 23 Mac 2016

Padang Baru Stadium Shah Alam, Mengapa Rumput ‘Cowgrass’ ?




SELANGOR INSIDER


Stadium Shah Alam


Stadium Shah Alam merupakan gelanggang keramat skuad The Red Giants. Dibuka pada tahun 1994 bagi menggantikan Stadium Merdeka setelah sekian lama berkongsi gelanggang tuan rumah bersama skuad warga kota, Kuala Lumpur.

Stadium Shah Alam telah merakamkan sejarah gemilang bola sepak Selangor antaranya, menjuarai Piala Malaysia tiga kali berturut-turut pada saingan Piala Malaysia 1995, 1996 dan 1997. Tahun 2015 menyaksikan The Red Giants menyempurnakan Misi 33, apabila menjuarai Piala Malaysia menewaskan pasukan Lang Merah dengan jaringan 2-0. Tanggal 5 April ini, sekali lagi dua pasukan ini akan bertemu dalam saingan Liga Super 2016 di gelanggang yang sama, namun dengan ‘rumput’ yang berbeza.

Pengurus Pasukan Selangor, YB Amiruddin Shari ketika melakukan lawatan meninjau kerja-kerja mengganti rumput baru berkata, kerja menanam rumput jenis ‘cow grass’ menelan kos RM200,000 itu mengambil masa kira-kira tiga hari selepas ditanam sebelum akarnya menjadi kuat untuk digunakan pada 5 April, iaitu perlawanan antara Selangor bertemu Kedah.

Pdg baru Std Shah Alam 1

Beliau yang juga EXCO Belia dan Sukan Negeri Selangor berkata, rumput jenis ‘cow grass’ iaitu sejenis rumput paling tahan dan digunakan di beberapa stadium termasuk di Stadium Tan Sri Dato’ Hj Hassan Yunos, Larkin, Johor juga menggunakan rumput jenis yang sama.

Namun, terdapat respon netizen mempersoalkan kesesuaian penggunaan rumput ‘cowgrass’ sebagai rumput baru Stadium Shah Alam. Antara respon-respon netizen khususnya penyokong merah kuning terhadap rumput ‘cowgrass’ ialah rumput tersebut ‘low class’ dan boleh didapati dengan mudah di belakang rumah. Ia mungkin berpunca daripada persepsi umum bahawa rumput cowgrass hanya layak untuk ditanam ditepi jalan raya atau di padang sekolah sahaja.

Cowgrass

Berdasarkan info yang boleh didapati melalui rujukan internet, cowgrass atau nama saintifiknya ‘Axonopus compressus’ adalah sejenis rumput tempatan yang boleh didapati di banyak tempat di Malaysia.

Rumput cowgrass adalah sejenis rumput yang amat tahan lasak. Cowgrass juga mempunyai ketahanan daripada serangan perosak, penyakit, cuaca serta rumput liar. Ia juga kurang memerlukan baja dan air.
Sekiranya berlaku kemarau atau kekurangan air, rumput cowgrass akan bertukar kepada warna coklat, 
namun ia akan kembali menghijau apabila mendapat sumber air

 cowgrass pdg

Kelebihan cowgrass yang lebih lasak menjadi pilihan pengurusan stadium menggunakan cowgrass menggantikan rumput import. Antara stadium yang kini menjadikan cowgrass ialah Stadium Tan Sri Dato’ Hj Hassan Yunos, Larkin dan Stadium Nasional Bukit Jalil.

Namun, berdasarkan pendapat individu-individu yang mempunyai pengalaman menguruskan padang dan landskap, jenis rumput bukanlah isu utama yang harus diambil perhatian. Apa yang lebih penting ialah kerja-kerja penjagaan dan penyeleranggan harus dititik beratkan. Antara perkara yang penting dalam pengurusan dan penjagaan padang rumput ialah menetapkan rutin pembajaan, siraman air, yang mencukupi serta pengudaraan yang sepatutnya berdasarkan keperluan rumput tersebut.

Stadium Larkin

Antara faktor-faktor padang menjadi rosak ialah kegagalan pihak pengurusan menetapkan rutin dan jadual penjagaan dan penyelenggaraan bahkan terdapat pihak pengurusan dengan sengaja mengabaikan keperluan-keperluan tersebut disebalik alasan menjimatkan kos.

Justeru, integriti dan profesionalisma pihak pengurusan amatlah penting agar penyelenggaraan dan penjagaan padang dapat dilakukan supaya keadaan rumput dan padang sentiasa berkeadaan baik dan sempurna.

Tiada ulasan: