Sabtu, 12 Mac 2016

NUMA nafi anggota terlibat palsu sijil sakit

NUMA nafi anggota terlibat palsu sijil sakit
Gambar hiasan - Foto Malaysiaharmoni.com
 
 
KUALA LUMPUR - "Kesatuan Kebangsaan Pembantu Perubatan (NUMA) menafikan anggotanya terlibat dalam kes pemalsuan sijil sakit seperti yang dikaitkan dalam laporan media baru-baru ini," kata presidennya, Taram Singh Walia.

Beliau berkata, bertentangan dengan laporan berkenaan, tiada pembantu perubatan yang didakwa di mahkamah atas kesalahan tersebut dan berharap media lebih berhati-hati ketika melaporkan kes seperti itu.

"Kami sudah melakukan pemeriksaan dan disahkan tiada pembantu perubatan yang disiasat atau didakwa kerana memalsukan sijil sakit.

"Lelaki yang didakwa kerana memalsukan 24 sijil sakit baru-baru ini bukan pegawai perubatan atau anggota NUMA," katanya.

Menurutnya, mereka yang sering didakwa bukannya pembantu perubatan tetapi pegawai kesihatan daripada kategori lain.

"Kami menggesa media dan mereka yang memberikan maklumat kepada media untuk lebih berhati-hati kerana maklumat yang salah boleh menjejaskan integriti pembantu perubatan dan keyakinan orang ramai terhadap perkhidmatan kami," kata Taram kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata, NUMA sedia bekerjasama dengan media dan pihak berkuasa untuk memastikan semua maklumat mengenai pembantu perubatan adalah tepat dan sah.

Minggu lalu, media melaporkan seorang pembantu perubatan didakwa di Mahkamah Majistret Seremban atas tuduhan memalsukan 24 sijil sakit, selain memiliki cop dengan nama beberapa doktor, dua tahun lepas.

Mohd Shahrizan Ismail Sinen, 37, mengaku tidak bersalah apabila tuduhan dibacakan di dua Mahkamah Majistret di Seremban.

Taram menjelaskan Mohd Shahrizan bukan pembantu perubatan atau anggota NUMA.

NUMA atau NUAMO (Kesatuan Kebangsaan Penolong Pegawai Perubatan) adalah badan profesional yang tertakluk kepada Akta Pembantu Perubatan 180, 1977 dan mempunyai kira-kira 4,200 anggota.

Matlamat utamanya adalah untuk menjaga kebajikan anggotanya dalam semua aspek pekerjaan. Semua aktiviti dijalankan mengikut perlembagaan dan jika tindakan seseorang anggota itu bertentangan dengan kesatuan, keanggotaan mereka akan dibatalkan jika didapati bersalah. - Bernama


Tiada ulasan: