Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok hari mencadangkan supaya Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dimansuhkan dan dana berkenaan digunakan bagi menyediakan biasiswa kepada pelajar cemerlang melanjutkan pelajaran di luar negara.
"Menurut jawapan parlimen yang diberikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said minggu lalu, kerajaan mampu menyelamatkan negara sebanyak RM240 juta setahun dengan membatalkan 744 biasiswa untuk pengajian di luar negara.
"Pada awal 2015, apabila perdana menteri mengumumkan penggantungan PLKN selama setahun pada semakan Bajet 2015, katanya, langkah itu akan menjimatkan kerajaan sebanyak RM400 juta setahun," kata Kok dalam satu kenyataan media hari ini.
Oleh itu, Kok berkata pemansuhan program PLKN tahun ini akan menyediakan dana yang mencukupi untuk mengembalikan pemberian biasiswa luar negara Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
JPA, tahun ini hanya menawarkan biasiswa untuk pengajian di universiti tempatan kerana pengurangan hasil kerajaan.
"Kerajaan harus mempertimbangkan untuk menggantung PLKN segera supaya wang yang dijimatkan itu boleh disalurkan untuk menaja 744 pelajar.
"Pelajar-pelajar ini telah dinafikan peluang untuk belajar di universiti yang terkenal di dunia akibat tindakan kerajaan menukar biasiswa luar negara kepada biasiswa tempatan," katanya.
Oleh itu, beliau berkata, adalah lebih baik jika kerajaan menghentikan program PLKN tahun ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan