shahbudindotcom
Suatu ketika dahulu, pertanyaan yang setiap hari biasa didengar ialah "bila Najib nak letak jawatan?"
Tetapi sekarang ini, yang paling kerap ditanyakan pula ialah "kenapa Najib susah sangat nak letak jawatan?"
Jika
di negara-negara lain, pemimpin yang terpalit dengan skandal kewangan
seperti Najib ini, lumrahnya mereka akan mengundurkan diri dengan senang
hati kerana tidak mahu nama baik sendiri, keluarga parti dan negara
terus bertambah buruk kerananya.
Di
negara kita pula, jangankan disebabkan ada skandal, malah hanya kerana
gagal mendapat kemenangan selesa pun mereka akan mengundurkan diri demi
sayangkan parti dan negara.
Tunku
Abdul Rahman Putra Alhaj meletak jawatan selepas keputusan buruk
pilihanraya yang diikuti dengan tragedi 13 Mei 1969, manakala Tun
Abdullah Badawi juga berundur selepas hilang dua pertiga pada
pilihanraya 2008.
Tetapi
Najib bukan saja tidak mahu berundur meskipun keputusan pilihanraya
2013 pimpinannya berkurangan tujuh kerusi berbanding pilihanraya 2008,
lebih buruk lagi meskipun setelah terpalit dengan kemelut 1MDB, derma
RM2,600 juta dan dana RM42 juta SRC International, beliau masih juga
mahu menggagahkan dirinya bertahan di kerusi kuasa Perdana Menterinya.
Najib
bukan saja tidak mahu mengikut contoh teladan yang ditunjukkan oleh
Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdullah Badawi, malah juga berbeza dengan
Tun Mahathir Mohamad.
Meskipun
Tun Mahathir juga menghadapi beberapa penentangan ketika eranya, tetapi
bukan saja semua persoalan dijawab dengan sebaiknya, malah beliau
menutup mulut mereka yang mengkritiknya dengan kejayaan melepasi dua
pertiga setiap kali pilihanraya.
Itulah
antara sebabnya apabila beliau mengumumkan untuk berundur daripada
jawatannya pada 2002, ramai yang menangis dan memujuknya. Dan kemudian
apabila peralihan kuasa kepada Tun Abdullah Badawi berlaku pada 2003,
kehilangannya begitu dirasai.
Dengan
keinginan Najib untuk terus bertahan sedangkan banyak persoalan
mengenai dirinya terbiar tidak mampu dijawab, UMNO dan negara pastilah
akan menjadi korbannya.
Najib
ketika ini bukan saja menjadi tadahan kebencian rakyat dan masyarakat
antarabangsa, malah imej negara di bawah kepimpinannya tidak lagi
seharum seperti dulu.
Dalam keadaan ini, bukankah berundur lebih baik demi kebaikan UMNO dan juga negara?
Tetapi, kenapa payah sangat Najib mahu berundur? Apa lagi yang mahu dipertahankannya?
Daripada anak Perdana Menteri kini sudah pun merasa menjadi Perdana Menteri, lalu pencapaian apa lagi yang mahu ditunggunya?
Apakah Najib sebenarnya bimbang tindakan undang-undang dan penjara akan menantinya jika mengundurkan diri ketika ini?
Namun tidakkah, kiranya UMNO dan BN kalah pilihanraya nanti, undang-undang tetap juga akan mengejarnya?
Berapa
peratus keyakinan Najib terhadap kemampuan untuk terus mengekalkan
kuasa sedangkan setiap hari suara penolakan semakin bergema di
mana-mana?
Dengan
Tun Mahathir bersama beberapa bekas pemimpin UMNO dan kerajaan sudah
bersama pembangkang dalam Deklarasi Rakyat untuk menolak Najib, jika ia
berterusan sehingga PRU 14, siapakah lagi yang mampu menyelamatkan masa
depan parti itu daripada tertanggal kuasanya?
Sebagai
rujukan paling mudah, isu Najib ini boleh saja diumpamakan seperti
seorang suami yang kantoi berskandal dengan wanita lain.
Menyelesaikannya hanya perlu mengaku dan meminta maaf. Jika maafnya
dapat diterima, kembali dan kukuhkanlah rumahtangga semula.
Jika maafnya ditolak, undur diri tetapi yang pentingnya, isteri dan anak-anak boleh mencari kebahagiaan sendiri selepas itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan