Isnin, 21 Mac 2016

Kecoh kes pencari petai hilang

Kecoh kes pencari petai hilang
Anggota bomba bersama Jabatan Perhutanan dan penduduk kampung sedang mengenalpasti lokasi mangsa. 
 
 
KULIM - Penduduk Kampung Bukit Rawa, Sedim di sini, kecoh seketika selepas tersebarnya berita mengenai dua pencari petai yang tersesat di dalam hutan kampung itu, Jumaat lalu.

Bagaimanapun kedua-dua mangsa yang sesat itu didapati berjaya keluar sendiri dari hutan sebelum ditemui penduduk kampung dan anggota bomba.

Sebelum kejadian, mangsa, Hashim Hamid, 40, bersama rakannya, Mohd Zulkarnain Man, 32, masuk ke dalam hutan untuk mencari petai, namun kira-kira jam 7 malam mereka terpisah selepas Hashim mengalami sakit kaki.

Ketika kejadian, Hashim dipercayai sempat menghubungi talian kecemasan 999 memaklumkan mereka sesat dalam hutan.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Pekan Sedim, Zainol Md Isa berkata,
selepas menerima berita kehilangan daripada pihak bomba dan polis, beliau bersama beberapa penduduk kampung mencari mangsa bermula jam 12.30 pagi sehingga 3 pagi.

"Selain di kawasan hutan, saya bersama kira-kira 10 penduduk ada mencari mangsa di sekitar kampung dan kawasan ladang, tetapi tidak menemuinya.

"Selepas itu, kami merancang untuk meneruskan operasi mencari pada hari ini (semalam),” katanya.

Namun katanya, sebaik penduduk bersama anggota bomba berkumpul untuk meneruskan operasi itu, mangsa tiba-tiba muncul di kawasan berkenaan kira-kira jam 12.30 tengah hari.

"Ketika itu, kami nampak mangsa menuju ke arah motosikalnya yang terletak sejauh empat kilometer dari tempat kami berhimpun.

"Hashim sempat bertanya penduduk cari siapa sebelum mengakui dialah yang hilang itu," katanya.

Menurutnya, ketika disoal siasat, Hashim mengakui dia berjaya keluar dari hutan itu pagi tadi (semalam) melalui jalan Pusat Rekreasi Arus Deras Sungai Sedim.

"Dia juga mengakui sempat makan kenduri di rumah jirannya sebelum mengajak adiknya untuk mengambil motosikalnya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Bomba Hi-Tech, Hafiz Suhaimi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan itu jam 11.39 malam dan mengaktifkan pasukan keselamatan bomba (PKB) pada jam 1 pagi berhampiran lokasi kejadian.

“Kami menyambung operasi pada jam 1.17 petang, bagaimanapun kedua-dua mangsa sudah selamat pulang ke rumah masing-masing.

"Mangsa kedua juga berjaya keluar sendiri dari hutan itu jam 1.17 petang,” katanya.

Katanya, kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.


Tiada ulasan: