KUCHING: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak mungkin akan dibubarkan
pada minggu depan atau selewat-lewatnya pada minggu pertama April, lapor
The Star Online.
Menurut pemimpin veteran Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk
Peter Minos yang dipetik portal itu berkata, Ketua Menteri Tan Sri
Adenan Satem telah mencadangkan tarikh 18 dan 30 April untuk hari
penamaan calon dan pengundian, bagaimanapun keputusan tentang tarikh
masih terletak di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
"Pada masa ini, terdapat gambaran bahawa pilihan raya akan diadakan
pada bulan April. Tetapi SPR akan berpandukan faktor-faktor lain seperti
keselamatan, cuaca dan persiapannya sendiri, jadi tarikh itu tidak
semestinya 18 dan 30 April," katanya kepada portal itu.
"Ketua Menteri menganggap pembubaran itu sangat penting untuk dirinya.
Dia masih perlu menyelesaikan masalah-masalah empat parti yang
bersengketa mengenai kerusi dan calon," kata Minos.
Empat parti itu ialah Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti
Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), Parti Rakyat Bersatu (UPP) dan
Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras).
Dalam pada itu, penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sarawak
(Unimas), Dr Jeniri Amir pula berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN)
berkemungkinan diadakan pada bulan Mei.
"Pendapat saya pilihan raya kemungkinan besar akan diadakan pada 7 Mei atau selewat-lewatnya 14 Mei," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan