Ahad, 13 Mac 2016

Cuaca panas: Gelombang haba akibatkan dehidrasi

SINAR HARIAN


Cuaca panas
Cuaca panas


KLANG - Bagi mengelak mengalami komplikasi kesihatan  akibat dehidrasi berpunca daripada gelombang haba yang wujud sekarang, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam menasihati orang ramai supaya mengurangkan aktiviti lasak di luar rumah dan meminum banyak air.

Beliau berkata langkah itu perlu diambil walaupun setakat ini, belum ada pesakit yang dimasukkan ke hospital kerana penyakit berkaitan haba.  

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah bagi pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Taman Sentosa di sini, hari ini.  

Berikutan pola cuaca El Nino bulan ini, Malaysia dijangka mengalami cuaca lebih panas daripada biasa dan jumlah hujan yang kurang.  

Sementara itu, Dr Subramaniam berkata Kementerian Kesihatan sedang berbincang dengan Kementerian Pendidikan bagi membuat keputusan tentang isu pengusaha kantin menyediakan makanan di rumah.

Ini berikutan kejadian tujuh pelajar termakan mi goreng mengandungi serpihan kaca di Hulu Selangor baru-baru ini.  

Pelajar dari SJKT Ladang Nigel Gardner, Hulu Selangor itu dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh selepas makan makanan itu di kantin sekolah berkenaan, yang dilaporkan dimasak pengusaha kantin di rumahnya.  

Dr Subramaniam berkata kementerian sedang menimbang dua pilihan, sama ada mengenakan syarat lebih ketat mengenai kaedah penyediaan makanan di rumah sebelum membawanya ke sekolah, atau hanya membenarkan pengusaha kantin menyediakan makanan di kantin dengan dipantau rapi pihak sekolah. - Bernama

Tiada ulasan: