Selasa, 22 Mac 2016

Baik bubar PAS dari gabung dengan Umno - Tuan Ibrahim

Shakira Buang   


2.3K6 


WAWANCARA Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata adalah lebih baik parti Islam itu dibubarkan sekiranya bergabung dengan Umno.

“Saya ingat kalau PAS bergabung dengan Umno kita tak perlu lawan Umno-lah maksudnya. Jadi, ada orang PAS tanya kalau tak lawan Umno nak lawan siapa lagi?

“Jadi, kalau PAS berkawan dengan Umno kita kena bubarlah,” kata Tuan Ibrahim dalam temubual eksklusif bersama Malaysiakini dan Beritadaily.

Bekas Pesuruhjaya PAS Pahang itu berkata demikian berikutan desas desus wujud usaha agar kedua-dua musuh tradisi itu bergabung selepas PAS dipinggir Pakatan Harapan.

Sebaliknya, bekas ADUN Jengka itu menegaskan PAS akan terus menentang parti pemerintah itu dalam setiap pilihan raya.

“Sekarang ini PAS masih kekal bahawa kita lawan Umno seperti mana di Kelantan yang mana hampir 80 hingga 90 peratus kerusi PAS kita lawan dengan Umno.

“Realitinya kami bertanding melawan Umno pada setiap kali pilihan raya dan PAS tidak lawan MCA, MIC tetapi yang PAS lawan adalah Umno dan ia kekal sehingga sekarang,” kata Tuan Ibrahim.
Umno datang tawar kerjasama

Tuan Ibrahim juga menegaskan bahawa isu kerjasama itu merupakan agenda media Umno, namun PAS tidak akan sekali-kali bekerjasama dengan parti yang didakwa mengamalkan rasuah itu.

Beliau juga berkata isu kerjasama itu merupakan usaha untuk menyelamatkan Umno dan parti itu juga beberapa kali membuat tawaran sedemikian kepada PAS.

“Saya ingat ini semua agenda media Umno, kita tahu Umno sekarang tengah lemas dan dia sangat mengharapkan PAS. Berapa kali dah Umno datang minta kerjasama dengan PAS.

“PAS tak akan bekerjasama dengan Umno kerana mereka ini mengamalkan rasuah. Rasuah teruk, negara teruk, ekonomi pun teruk, penyelewengan pun teruk,” tegas Tuan Ibrahim.

Malah, katanya tidak mungkin PAS akan bekerjasama dengan parti yang zalim terhadap rakyat dengan merujuk projek Lebuhraya Pantai Timur dan sekatan royalti minyak kepada Kelantan.

“Cuba kita bayangkan kalau orang khianat Kelantan yang mana lebuhraya sampai Terengganu sahaja, macam inikah kita nak jadikan kawan?

“Royalti minyak Terengganu (waktu) kita menang (pilihan raya) satu sen pun mereka tak bayar dan untuk makluman beribu nama rakyat Kelantan dipotong dari senarai penerima BR1M walaupun mereka ini hidup susah di kampung hanya kerana mereka orang PAS.

"Tak mungkin orang macam ini kita nak bekerjasama dengan Umno,” tegas Tuan Ibrahim.

Hadir bukan bermakna sokong

Beliau berkata kehadiran Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam majlis yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bukan bermaksud PAS menyokong Umno.

Sebaliknya, katanya, Abdul Hadi mengunakan kesempatan itu untuk menegur Najib terutamanya mengenai soal pentadbiran negara.

“Sebab itu juga saya katakan soal kita hadir dalam majlis bersama tidak bermakna kita menyokong.

“Kita hadir seperti mana dalam parlimen yang mana semua orang akan hadir tapi kita tetap membantah (perkara yang tak betul). Presiden hadir majlis Najib, Abdul Hadi buat teguran dan beri peringatan serta beri amaran,” kata Tuan Ibrahim.

Malah katanya, Hadi juga mengadakan mesyuarat terlebih dahulu bagi meminta pandangan pimpinan PAS sebelum menemui Najib.

“Peluang bercakap terus dengan perdana menteri ini ada dua kali sahaja. Yang pertama di Parlimen, itu pun beliau jarang datang dan kedua pada majlis yang dihadiri perdana menteri.

“Jadi, kalau dalam majlis sebegitu kita boleh bercakap terus dengan perdana menteri dan kita tegur dia. Sebab itu bagi saya apa yang penting adalah apa yang diucap oleh presiden dan bukan baju yang dipakai beliau,” tegas Tuan Ibrahim.

Bagaimanapun, Tuan Ibrahim kesal dengan tindakan pembangkang yang didakwanya menyerang PAS selepas media perdana melaporkan kedua-dua parti itu menjalinkan kerjasama.

“Media perdana cuba melihat PAS jalin kerjasama dengan Umno dan dukacitanya pembangkang menyerang PAS.

"Kalau serang PAS bererti kita tak serang Umno, sepatutnya tak perlu serang PAS sebab kita masih pembangkang,” ujarnya.

PAS mahukan undi Melayu
Tuan Ibrahim yang pernah menjadi pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata PAS perlu mendapatkan undi orang Melayu yang sebahagian mereka masih berada dalam Umno.

Justeru, katanya, anggota Umno yang akan menyokong pembangkang adalah mereka yang semakin hilang kepercayaan kepada parti pemerintah itu.

“Orang Umno yang bagaimana hendak mengundi PAS? Mereka adalah orang yang bencikan Najib, yang melihat masa depan negara, yang melihat rasional dan tidak emosi.

"Orang Umno yang macam ini akan bersama pembangkang. Orang bersama Najib tak akan datang kepada pembangkang.

“Jadi PAS kena dapatkan (undi Melayu dari Umno). Sebab apa kita tak boleh ke Putrajaya? Sebab undi PAS tidak meningkat, undi Melayu tak ada,” tambah Tuan Ibrahim.


Tiada ulasan: