Isnin, 21 Mac 2016

Anak beranak mahu bawa deklarasi ‘syaitan’ ke Agong

MALAYSIAKINI




Portal pro-Umno terus membidas Tun Dr Mahathir Mohamad kerana pembabitannya dalam ‘Deklarasi Rakyat’ bagi ‘Selamatkan Malaysia’ yang antara lain menuntut penyingkiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan pembaharuan insititusi.

Walaupun tidak menamakan Mahathir secara langsung, Mykmu.net berkata dengan pengaruh 22 tahun sebagai pesiden Umno dan anaknya sebagai menteri besar, mereka cuba menyemai bibit api kemarahan rakyat terhadap Najib.

“Berjaya mendapatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Shafie Apdal dan beberapa penyokong taksub, mereka mula ungkit ‘kehebatan’ bekas perdana menteri 22 tahun.

“Berjaya mendapatkan ‘geng’ dari dalam Umno dan kabinet kerajaan, mereka lebih aggresif.

“Bukan saja dasar kerajaan yang mereka serang, propaganda berfaktakan ‘fakta separuh masak’ dan ‘tidak benar’ mula dihidangkan pada rakyat dan akar umbi parti,” kata penulis artikel yang tidak mendedahkan namanya itu.

'Tong najis'

Deklarasi Rakyat yang dimeterai awal bulan ini membawa bersama kumpulan yang sebelum ini tidak boleh ‘bertentangan mata’ duduk di meja yang sama.

Dr Mahathir bukan sahaja kini bekerjasama dengan pemimpin supremo DAP Lim Kit Siang tetapi juga sedia bersama keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pernah dipecatnya sebagai timbalan perdana menteri.




“Gagal menjatuhkan Najib dari dalam Umno mahupun kerajaan, mereka teruskan juga agenda menjatuhkan Najib.

“Biarpun terpaksa terjun ke dalam ‘tong najis’, mereka sanggup asalkan impian menjadi perdana menteri menggantikan Najib tercapai,” katanya.

Penulis artikel di Mykmu itu menyebut bahawa jika syaitan berwajahkan manusia sekalipun, Mahathir dan kumpulannya itu sanggup bekerjasama asalkan ia mampu menggulingkan Najib.

Beliau turut menyelar tindakan kumpulan berkenaan kerana mahu mengheret Agong ke dalam kancah politik.

Sangat memalukan

Menurut penulis, tindakan itu sesuatu yang sangat memalukan kerana Raja-raja Melayu adalah bebas dan tidak mencampuri hal politik.

“Terkini, dua anak beranak itu mahu membawa deklarasi ‘syaitan’ itu mengadap Yang di-Pertuan Agong.
“Si anak dalam kenyataannya tanpa rasa malu memberi alasan kononnya deklarasi itu adalah mewakili ‘suara rakyat’ yang tidak mahu tunggu sehingga pilihan raya umum akan datang untuk menjatuhkan Najib,” katanya merujuk kepada peranan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.



Seri Paduka pada titah ucapan ketika merasmikan pembukaan sidang parlimen keempat penggal ke-13 di Kuala Lumpur pada 7 Mac lalu menyatakan hasrat supaya pentadbiran yang ada kini diteruskan bagi merealisasikan matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi.

Yang di-Pertuan Agong juga menggesa ahli-ahli parlimen supaya berhenti berpolitik untuk kepentingan sempit kerana ia telah berlarutan sejak sekian lama hingga melelahkan rakyat dan kerajaan.

Taktik buruk

Bagi pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang, Seri Paduka hanya membacakan ucapan yang disediakan oleh kerajaan manakala Presiden Amanah, Mohamad Sabu juga bersetuju dengannya.

Mengulas lanjut, portal itu menyoal adakah Mahathir dan pemimpin pembangkang tidak faham dengan titah Yang DiPertuan Agong dan terus mahu menyebarkan fitnah mereka.

“Apakah mereka mahu membawa fitnah yang disiar di Wall Street Journal yang bersumber dari fitnah Sarawak Report kepada baginda?

“Politik sempit sebegitu yang hendak dibawa mengadap? Dan apakah itu tidak mengganggu perjalanan kerajaan sedia ada?” soalnya.




Penulis sebaliknya mencadangkan mereka yang terdesak menjadi perdana menteri supaya tidak menggunaka taktik buruk seumpama itu.

“Buruk sangat taktik begitu, nampak sangat tahap terdesaknya. Bagi mudahkan bicara, sembah saja pada Yang DiPertuan Agong, ‘patik nak jadi PM, tuanku... boleh tak?’.

“Berterus terang sajalah!’ katanya lagi.


Tiada ulasan: