MALAYSIA DATELINE
Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) digesa menjelaskan kelewatan
bayaran gratuiti kepada pesara-pesara angkatan tentera yang tidak layak
menerima pencen sehingga ada yang terpaksa menunggu sehingga enam bulan
selepas tarikh persaraan berbanding tempoh biasa sebulan.
Malah Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli melahirkan kebimbangan jika
kelewatan itu diakibatkan masalah kewangan ekoran keterlibatan LTAT
dengan 1MDB.
"Seperti yang kita sedia maklum, LTAT melalui anak
syarikat milik penuhnya iaitu Perbadanan Perwira Harta Malaysia (PPHM)
adalah kontraktor 'turnkey' yang bertanggungjawab memindahkan dan
menaiktaraf lapan pangkalan udara yang sepatutnya dilaksanakan oleh
1MDB.
"Kerajaan Persekutuan melantik 1MDB bagi kerja-kerja tersebut sebagai
syarat 1MDB mendapat tanah-tanah di pangkalan TUDM Sungai Besi. 1MDB
pula menganugerahkan kerja-kerja tersebut kepada PPHM dengan kontrak
bernilai RM2.1 bilion seperti diumumkan 1MDB sendiri pada 3 April 2013,"
jelas Rafizi dalam satu kenyataan media.
Bagaimanapun tambah beliau, 1MDB mengalami masalah kewangan yang teruk sehingga bermasalah untuk membayar hutangnya sendiri.
Naib Presiden PKR itu juga mahukan kepastian sama ada 1MDB telah
melangsaikan sepenuhnya bayaran kepada PPHM yang terpaksa pula membayar
sub-kontraktor yang menjalankan kerja-kerja pemindahan dan naik taraf
tersebut.
"Jika 1MDB lewat membayar jumlah yang besar kepada
PPHM, saya khuatir LTAT terpaksa mendahulukan dananya terlebih dahulu
kepada sub-kontraktornya.
"Jika ini berlaku bagi jumlah kontrak yang besar iaitu RM2.1 bilion,
sudah tentu ia akan memberi kesan kepada kedudukan kewangan LTAT dan
boleh menjejaskan kemampuannya membayar gratuiti kepada pesara tepat
pada masanya," ujarnya.
Sehubungan itu, Rafizi menyeru 1MDB dan
PPHM mendedahkan rekod keseluruhan kerja-kerja yang telah disiapkan dan
bayaran tertunggak 1MDB kepada PPHM.
Beliau juga menyeru supaya PPHM mengumumkan berapa bayaran kepada sub-kontraktor yang telah didahulukan oleh LTAT.
"Saya
akan menunggu jawapan rasmi LTAT kenapa bayaran gratuiti kepada pesara
–pesara tentera adalah lewat dan mendesak supaya masalah ini
diselesaikan secepat mungkin," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan