Jumaat, 1 Ogos 2014

Suhaizan: Fahami analisis Dr Zuhdi sebelum kritik PAS bukan-bukan

 Oleh Syed Mu'az Syed Putra

 
Post Pic

 
 
KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Suhaizan Kaiat sekali lagi menegaskan pandangan kontroversi melibatkan pemimpinnya bukan pendirian apatah lagi mewakili parti berkenaan.
 
"Ia sebenarnya memberi senario yang sudah pasti senario itu bukan satu, senario itu banyak dan sepatutnya semua senario itu harus dibacalah.
 
"Barulah kita dapat gambaran yang lebih besar dan itu baru satu senario," katanya kepada Antarapos.
 
Malahan menurut beliau, perkara itu akan diselesaikan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat akan datang menambah komponen lain perlu berhenti mengkritik analisis pemimpin PAS itu.
 
"Bagi macam inilah, perkara itu boleh selesai bila kita buat mesyuarat dalam Pakatan Rakyat akan datang, tiada masalah," katanya lagi.
 
Suhaizan berkata demikian mengulas analisis Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS Dr Mohd Zuhdi Marzuki melalui sistem aplikasi WhatsApp yang tersebar kepada umum sehingga membawa kepada kontroversi antara parti itu dan Pakatan.
 
Dalam perbincangan WhatsApp itu, Zuhdi melontarkan analisis senario yang menunjukkan PAS masih boleh mengekalkan Selangor menerusi kerjasama dengan Umno.
 
Analisis berkenaan dilihat susulan konflik dalaman Pakatan berikutan isu kerusi Menteri Besar Selangor yang disandang Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan PKR mencadangkan presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon pengganti, didakwa dipersetujui DAP dan ditentang PAS.
 
Berikutan paparan skrin mesej itu yang didedahkan di media sosial, PAS cuba menjauhkan diri daripada pandangan  Zuhdi yang dianggap bersifat peribadi manakala PKR dan DAP mengkritik hebat cadangan itu yang dilihat cuba mengkhianati perjuangan Pakatan.
 
**Teliti keseluruhan analisis sebelum kritik**
 
Tegas Suhaizan lagi, analisis Zuhdi itu perlu dilihat secara keseluruhan dengan mengambil kira semua senario dinyatakan.
 
Justeru beliau berkata adalah tidak wajar membuat keputusan tanpa merujuk perkara sebenar sehingga mencetuskan krisis lebih besar.
 
"Senario ini bukannya perkara yang betul atau keadaan yang sebenarnya, maknanya hanya imaginasi (malah) ada senario satu, senario dua dan senario tiga.
 
"Jadi maknanya kena baca keseluruhan senario itu baru dapat gambaran yang sebenar.
 
"Bukan begitu, ia begini macam kita buat analisis...bila buat analisis kena ada senario satu, senario dua serta senario tiga dan ia bukan kejadian sebenar," katanya.
 
Dilihat tidak terlalu mengambil serius isu itu, Suhaizan berkata mana-mana pihak boleh merujuk kepada Zuhdi sekiranya mahu mendapatkan penjelasan selanjutnya.
 
"Ia imaginasi satu, dua, tiga dan empat...kalau macam (senario) ini akan jadi seperti ini (keputusan) dan seterusnya, macam itulah.
 
"Kalau senario satu hasilnya A, senario dua akan jadi B dan kalau nak tahu macam mana ceritanya kena rujuk Dr Zuhdi tapi maknanya itulah senario yang diberi kepada kita.
 
"Itu bukannya pendirian parti," katanya.

Tiada ulasan: