Oleh: Lyn Nasir
KUALA LUMPUR : Gesaan bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad untuk menapis internet adalah satu lagi langkah dan strategi Umno BN untuk mempastikan kedudukan mereka kekal sebagai pemerintah.
Pengarah Komunikasi KAEDILAN, Fahmi Fadzil berkata tindakan itu bagi menyekat segala maklumat disampaikan kepada rakyat, terutama menerusi internet.
“Kenyataan itu menunjukkan ia adalah tindakan anti demokratik, kuku besi dan diktator yang wajib diprotes oleh semua pihak,
“Kita sekarang berada dalam keadaan di mana negara subur segala maklumatnya melalui internet, jadi wajarkah untuk mengambil tindakan dengan menyekat internet di negara ini?” soalnya ketika dihubungi.
Semalam, Mahathir dilapor berkata sudah tiba masanya kerajaan menapis internet serta menggesa semua pihak berhenti bercakap mengenai kebebasan akhbar kerana jelasnya kebebasan itu sentiasa terdedah kepada salah guna.
“Sekatan itu tidak boleh dibuat kepada perkara-perkara yang berkisar kepada kepentingan rakyat dan hal ehwal umum. Rakyat berhak memperoleh fakta dan maklumat yang tepat,” ujarnya lagi.
Katanya lagi, Mahathir sendiri melanggar apabila memperkenalkan Koridor Raya Multimedia (MSC) apabila memberi jaminan tidak akan ada sebarang sekatan internet.
“Kalau benar apa yang dikatakan oleh Tun Mahathir itu akan dilaksanakan, ini bermakna Tun Mahathir sendiri telah melanggar janji yang dibuat, beliau sendiri kata tidak akan mengenakan sebarang sekatan internet sewaktu MSC diperkenalkan,
“Selain itu, tindakan ini akan membuatkan negara kita selangkah tapak kebelakang kerana sekarang ini segala maklumat kini boleh diakses melalui internet dengan sangat pantas.
“Negara akan jadi mundur, begitu juga dengan pemikiran rakyat, akan banyak perkara yang mereka tidak akan tahu selepas ini hanya kerana internet telah disekat,” tambahnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan