SHAH ALAM: Krisis jawatan Menteri Besar Selangor yang kini menyaksikan
PAS, PKR dan DAP saling menuding jari adalah natijah yang sepatutnya
ditanggung PKR, ujar Penganalisis politik, Prof Madya Datuk Dr Mohammad
Agus Yussof.
Ini kerana PKRlah yang memulakan perancanaan mahu menukar Khalid
menerusi 'Langkah Kajang' tanpa berunding dengan mana-mana parti
kompenan baik PAS mahupun DAP.
Agus juga tidak menolak andaian bahawa Pakatan Rakyat akan jatuh dan
perkara itu disebabkan sikap PKR yang suka membuat keputusan tanpa
mengambilkira pandangan rakan kompenannya.
"Sekarang ini apabila Menteri Besar tidak mahu turun dan PAS pula tidak
bersetuju dengan Langkah Kajang ini, maka menggelabahlah PKR. Maka,
muncullah krisis.
"Dalam kes isu Menteri Besar ini, banyak pengajarannya. Pertama,
pemimpin PKR janganlah memberi kenyataan yang tidak betul. Itu menipu
namanya. Contohnya, kata Langkah Kajang bukan untuk menukar Menteri
Besar, tetapi akhirnya mencadangkan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan
Azizah Wan Ismail untuk menggantikan Menteri Besar sekarang.
"Kedua, belajarlah untuk berunding dengan rakan lain dalam PR sebelum
membuat sesuatu keputusan penting. Jika tidak boleh berunding, tunggulah
sahaja saat jatuhnya Pakatan Rakyat," katanya dalam status di laman
sosial Facebooknya, hari ini.
Malah tambah Agus, PKR juga sewajarnya 'serik' dengan tindakan mereka yang lebih banyak mengeruhkan suasana politik negara.
"PKR ingat partinya ada suara majoriti. Dan PKR juga ingat kerusi
Menteri Besar adalah milik mutlak partinya. Maka, atas alasan itu
barangkali Langkah Kajang dibuat tanpa perbincangan. Hasilnya wajarlah
apabila PAS marah," katanya.
Kemelut jawatan Menteri Besar Selangor yang dilihat mencetuskan
perbalahan antara rakan komponen Pakatan khususnya PAS-PKR, kata Agus,
adalah waktu terbaik bagi parti Islam itu menyatakan pendirian dengan
tegas.
Dalam analisisnya seperti yang disiarkan Sinar Harian, Agus berpendapat
adalah bagus untuk PAS keluar daripada Pakatan dan menyertai Barisan
Nasional (BN) bagi memenuhi beberapa keperluan.
"Pertama, untuk mengukuhkan kedudukan politik orang Melayu dan Islam.
Kedua, untuk membolehkan BN mendapat sokongan dua pertiga majoriti dan
seterusnya meluluskan persempadan baru kawasan pilihan raya.
"Ketiga, saya mahu tahu kekuatan Pas selepas meninggalkan PR. Apakah Pas akan kekal kuat?," ujarnya.
Oleh itu kata Agus, PAS seharusnya memanggil satu perhimpunan agung
tergempar bagi membolehkan ahlinya membuat pendirian sama ada mahu parti
itu kekal bersama Pakatan atau mengundur diri dari gagasan pembangkang
itu.
"Biarkan pemimpin akar umbi mengundi membuat keputusan sama ada untuk
keluar dari PR, menyertai BN atau keluar PR untuk berdiri dengan
kekuatan sendiri.
"Saya fikir sudah sampai masanya pemimpin Pas berfikir dan mengambil
keputusan tegas tentang hal ini. Jika sekejap ada pemimpin kata tidak
boleh sepakat dengan PR dan sekejap pula ada yang kata boleh sepakat,
itu politik yang tidak ada jiwa, tidak ada semangat setia kawan, tidak
menentu pendirian politiknya dan tidak ada hala tuju yang jelas,"ujarnya
lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan