Oleh Sunarti Yusoff
KUALA LUMPUR: KEADILAN akan menganjurkan Kongres Nasional
Tahunan 2014 selama tiga hari bermula 22 Ogos ini bertempat di Stadium
Malawati, Shah Alam.
Kongres dijangka akan padat dengan pelbagai agenda yang diatur oleh anggota parti yang hadir.
Melalui
agenda utamanya, iaitu pengumuman pimpinan baru, kongres kali ini
dijangka akan menerima lebih 3,000 perwakilan dan pemerhati daripada
wakil-wakil di peringkat
Cabang, Majlis Pimpinan Negeri (MPN), Angkatan
Muda KEADILAN, Wanita dan angota-angota Majlis Pimpinan Pusat (MPP).
Tirai persidangan akan dimulakan dengan Kongres AMK yang akan
diadakan di Dewan Bankuet MBSA pada Jumaat, dan akan dirasmikan oleh
Timbalan Presiden, Mohamed Azmin Ali.
Pada Sabtu 23 Ogos, kongres dimulakan dengan ucapan aluan oleh
Setiausaha Agung, Datuk Saifuddin Nasution Ismail yang kemudiannya
diikuti oleh ucapan dasar oleh Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan
Azizah Wan Ismail yang kemudiannya akan merasmikan kongres.
Progran seterusnya diteruskan dengan pemilihan bagi jawatan Pengerusi
Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap, serta pemilihan dua pemeriksa
kira-kira.
Menurut Pengarah Kongres, Abdul Hadi Suhaimi, semua pemerhati
jemputan, wakil kedutaan asing dari pelbagai negara, wakil parti
gabungan Pakatan Rakyat dan ahli badan bukan kerajaan (NGO), dijemput
hadir.
“Seramai 800 pemerhati daripada 1,500 telah mengesahkan kehadiran mereka setakat ini.
“Semua diplomat asing terutama dari United Kingdom, Jerman, Filipina,
Singapura, Sri Lanka, India dan negara-negara yang mengamalkan sistem
demokrasi dijemput hadir dan seramai 10 orang daripadanya telah
mengesahkan kehadiran.
“Untuk NGO pula, Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) juga
telah mengesahkan kehadiran dengan diwakili oleh Sasterawan Negara,
Datuk A Samad Said, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Persatuan
Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak),” katanya kepada Keadilan Daily.
Selain ucapan dasar Presiden, kongres kali ini turut membahaskan
isu-isu semasa di dalam dan luar negara seperti isu MH17 dan MH370, isu
keselamatan Sabah dan penindasan umat Islam di Gaza.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan