ASPAN ALIAS
Saya amat yakin yang untuk mendapatkan pembaharuan dan kebaikan, kita perlu melalui yang terburuk. Apabila keadaan menjadi terlalu buruk maka kebaikan akan mendatang. Apa hikmah yang akan mendatang yang Maha Mengetahui sahaja yang tahu. Bagi kita yang penting ialah untuk mencari jalan dan penyelesaian yang terbaik bukan sahaja untuk diri kita, ia juga yang terbaik bagi negara dan rakyat yang ramai.
Isu di Selangor tentunya salah
satu dari perkara yang saya sebutkan tadi. Mesti ada yang kecundang, malahan
apa yang berlaku kini membolehkan pembersihan diri bagi pemnimpin-pemimpin yang
sedang bergolak sesama sendiri sekarang ini.
Besok kita akan mendengar apa
keputusan PAS dalam menentukan sikapnya berhubung dengan isu yang di hadapi
oleh Pakatan Rakyat Selangor. Jika di nilai dari keputusan awal, Dewan Ulamak
PAS tetap tegas dengan keputusan untuk mengekalkan Khalid sebagai Menteri Besar
dan ia perlu di hormati oleh ahli-ahlinya terutamanya dikalangan Ahli-Ahli
Dewan Undangan negerinya di Selangor.
Amat janggal jika PKR meminta
semua ADUNnya taat dan setia kepada parti maka tentulah tidak menyalahi moral
jika ADUN-ADUN dan ahli-ahli PAS juga menghormati kepimpinan partinya itu. PAS
sudah biasa bersendirian dan parti itu masih wujud, malahan PAS tidak lagi
parti yang bertompok-tompok sokongannya tetapi parti itu berada di mana-mana
dalam Semenanjung Malaysia
ini.
PAS nampaknya tegas dengan
pendirian dan ia tetap akan mengambil keputusan berdasarkan kepada keputusan
yang di ambil oleh Dewan Ulama nya. PKR tidak boleh marah dengan keputusan itu
kerana dalam politik ini banyak keputusan di ambil bukan setakat dengan apa
yang tersurat, tetapi yang lebih baik lagi ialah keputusan yang berdasarkan apa
yang tersirat.
DAP dan PKR mungkin mengkritik
PAS kerana tidak bersama dalam isu Khalid ini, tetapi PAS juga boleh memberikan
alasan yang ahli-ahli Pakatan Rakyat juga wajar menghormati apa yang diminta
oleh PAS. Jika tidak bertemu keserasian diantara kedua pihak berpisah bukannya
tindakan yang tidak baik. Jika tidak mahu pertelingkahan yang berterusan maka
perpisahan itu adalah wajar berlaku.
Dalam isu Selangor ini tidak ada
pihak yang sepatutnya memaksa mengambil keputusan yang berat bagi PAS untuk
mengambilnya. Walaupun banyak keputusan yang di ambil oleh PAS dalam banyak hal
tidak berapa selesa, tetapi adalah tidak betul memaksa PAS membuat keputusan
yang tersangat berat bagi PAS untuk bersama. Tekanan terhadap PAS oleh Anwar
begitu kuat sehinggakan PAS sendiri terutamanya dikalangan ulama PAS sudah
sampai ketahap yang mereka tidak dapat menerimanya lagi.
PAS tidaklah begitu tegas
terhadap kemahuan Anwar ini, malahan selama ini PAS telah memberikan Anwar
begitu banyak laluan dalam banyak perkara. Tetapi jika PKR dan Anwar mengambil
kelembutan PAS itu sebagai kelemahan yang boleh di ambil kesempatan, itu adalah
satu sikap yang sangat tidak bermoral. Hanya kali ini PAS mengambil keputusan
dengan tegas takkan lah sampai menganggap PAS sebagai pengkhianat kepada
Pakatan Rakyat pula.
Apa yang Anwar sebenarnya
mahukan? Sesungguhnya PAS juga ada maruahnya dan pimpinan mereka juga ada yang
berkualiti yang tidak mempunyai masalah peribadi. Sampai bila Anwar mahu
menggunakan orang lain untuk menyelesaikan masalah peribadi beliau?
PKR menggunakan isu-isu yang
tidak begitu betul secara ‘expedient’ bagi menghalalkan tindakan mengenepikan
Khalid. Jika Khalid mempunyai isu seperti yang di sebut oleh PKR dan Anwar
sendiri, Anwar juga mempunyai masalah yang besar dan telah diputuskan oleh
Mahkamah. Isu terhadap Khalid belum pun di tentukan salah benarnya
seperti yang di sebut oleh Majlis Syura PAS.
Tetapi isu yang dihadapi oleh
Anwar sudah nyata kesalahan Anwar. Buat setakat ini Anwar telah di dapati
bersalah dalam isu sodominya. Keputusan Mahkamah itu rasmi. Anwar hanya akan
terlepas jika Mahkamah Persekutuan melepaskan beliau dari tuduhan itu.
Pakatan Rakyat sepatutnya selesaikan masalah yang di hadapi oleh Anwar dari
mencari masalah terhadap orang yang belum di tentukan kesalahanya.
Tetapi kumpulan ini menuduh keputusan
mahkamah itu sebagai ‘conspiracy’ politik terhadap beliau. Semua yang terkena
kepada Anwar itu adalah ‘conspiracy’ politik. Apa yang di tuduh terhadap UMNO
itu benar. Tuduhan Anwar yang UMNO menggunakan 40,000 pengundi haram dari
Bangladesh itu benar dan apa sahaja tuduhan terhadap beliau itu adalah
‘conspiracy’ politik. Semua orang berniat jahat kepada beliau dan semua niatnya
adalah niat yang baik-baik yang halal dan toyibah.
Manusia ada juga batasan
kesabarannya apabila menghadapi sikap dan kelakuan pemimpin seperti ini.
Pemimpin-pemimpin yang lain tidak ada kerja dan tugasan lain selain
dari
menyelesaikan masalah peribadi beliau sahaja.
Semua pihak sepatutnya menumpukan
pembetulan yang sangat terdesak hasil dari kerakusan UMNO dengan kuasa sekarang
ini. Jika Pakatan Rakyat berhajat untuk
menjadi barisan ‘alternative’ adalah penting orang yang menerajui pimpinan ‘alternative’
itu keluar dalam keadaan yang bersih dari banyak masalah peribadinya.
Pemimpin yang sarat dengan
masalah peribadi tidak akan mengambil keputusan dengan tepat kerana semua
keputusannya terpaksa memasukkan agendanya sendiri. Kalau tiada Anwar tidak
semestinya perjuangan tidak akan mendapat rahmat. Yang baik akan tetap
mendatang, hanya menunggu masanya sahaja kerana masa untuk berjumpa dengan
penyelesaian itu di tentukan oleh Yang Maha Penentu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan