Ahad, 24 Ogos 2014

Fahami kerajaan, kedaulatan raja


Bangunan Selangor SUK
 
 
 
PERGOLAKAN politik di Selangor punya hikmah yang tersendiri. Di balik jeriji besi sistem politik demokrasi gaya Westminster, berdiri teguh satu tradisi dan institusi Islam yang bernama Raja-Raja Melayu.

Setelah wakil-wakil rakyat daripada Pakatan Rakyat berhempas pulas dalam  menyatakan keputusan sebulat suara menggantikan Menteri Besar sedia ada iaitu Tan Sri Khalid Ibrahim, kini tumpuan utama bakal dihalakan kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah, Sultan Selangor kesembilan dalam menyelesaikan kemelut politik yang masih hangat.

Sudah kedengaran suara-suara dan lembaga-lembaga yang mempersoalkan peranan dan kedudukan Sultan dalam menentukan kepimpinan kerajaan negeri.

Dikatakan Sultan tidak boleh campur tangan dalam memilih Menteri Besar. Golongan ini samada buat-buat lupa atau jahil akan makna kerajaan dan kedaulatan.

Istilah kerajaan dalam pandangan alam Islam bangsa Melayu, tidak boleh disempitkan dan dimudah-mudahkan sebagai terjemahan kepada istilah Inggeris “government”.

Orang Melayu yang arif dan teliti terhadap penggunaan bahasa Melayu, pasti akan sedar bahawa apabila suatu kata dasar diapit dengan imbuhan “ke-” di awalnya, dan “-an” dihujungnya, kata dasar tersebut akan bertukar menjadi suatu hal ataupun keadaan (state/condition).

Maka, apa yang kita istilahkan sebagai “ke-Raja-an”, tidaklah ianya sekadar difahami umum kini sebagai “pemerintah”, sebaliknya yang lebih menyeluruh dan dasar ialah suatu keadaan di mana wujudnya Raja.

Tiada ulasan: