Roketkini.com
KALABAKAN: Adun Sri Tanjong Chan Foong Hin
membantah keras aktiviti pembalakan haram di tapak projek kilang
geoterma Tawau Green Energy (TGE) yang menyebabkan banjir hingga
menjejaskan kehidupan lebih 600 penduduk.
Berikutan pelbagai aduan, Chan sendiri turun ke tapak
kilang dan mendapati antara punca berlakunya banjir adalah pembersihan
tapak dengan melakukan pembalakan sehingga mencemarkan sungai yang
menjadi sumber air bagi penduduk tempatan.
Chan dalam tinjauannya bersama seorang pemimpin Umno
tempatan Andrassy Amissain Latip memaklumkan, kesan langsung akibat dari
pembalakan haram adalah banjir kilat di kawasan sekitar lokasi kilang
TGE terutamanya selepas hujan.
“Penduduk bergantung penuh kepada bekalan air dari sungai kerana bekalan dari Jabatan Bekalan Air (JBA) tidak konsisten.
“Amissain sendiri telah rasa tidak puas hatinya terhadap
projek TGE dan menyelar tindakan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman yang
menyalahguna kuasa dengan memberikan projek tersebut kepada anaknya
sendiri,” kata Chan dalam satu kenyataan.
Menurutnya, Pengarah Jabatan Perhutanan Sabah Sam Mannan
sebelum ini mendakwa, pembalakan dilakukan untuk mengosongkan kawasan
itu bagi pembinaan jalan raya.
Justeru beliau yang juga Naib Pengerusi DAP Sabah
menegaskan, tiada keperluan untuk mengosongkan kawasan tersebut kerana
jalan sepanjang 18 kilometer telah sedia ada untuk digunakan.
Anugerah projek kepada kroni yang tidak berkelayakan
Dalam pada itu, berdasarkan carian di Suruhanjaya Syarikat
Malaysia (SSM) mendapati, pemegang saham majoriti TGE adalah Ketua
Pemuda Umno bahagian Sipitang Yamani Hafez iaitu anak Musa Aman.
Namun pemegang saham utama kini bertukar kepada Timbalan Ketua Pemuda Umno Sandakan Awang Kading Tang.
Dalam sidang Dewan Undangan Negeri sebelum ini, Chan
mempersoalkan sama ada syarikat tersebut layak dianugerah projek
tersebut kerana tidak mempunyai pengalaman dan kemahiran dalam industri
tersebut.
Ketua Menteri Musa Aman dalam jawapannya menyatakan bahawa
pengkhususan bidang dan kepakaran berhubung teknologi tersebut akan
disumberluar (out source) kepada pihak lain.
Tambah Chan, tindakan menganugerah projek TGE kepada pihak
tidak berkelayakan turut dibantah oleh Ahli Parlimen Kalabakan dari BN,
Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh.
“Adakah ini bermakna bahawa sesiapa saja boleh membentuk
sebuah syarikat untuk melobi bagi Perjanjian Pembelian Kuasa Tenaga
Boleh Diperbaharui (REPPA) dan kemudian disumberluar kepada orang lain?
“Saya tidak menentang pembangunan tenaga bersih, tetapi ketelusan dan akauntabiliti perlu dipatuhi,” tegasnya. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan