Sabtu, 14 April 2012

Utusan berusaha gambarkan Bersih ‘jahat’, kata pemerhati media kepada Suhakam


KUALA LUMPUR, 13 April — Utusan Malaysia antara empat akhbar yang konsisten menggambarkan himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu secara negatif, kata pemerhati media hari ini.

Ding Jo-Ann, wakil daripada Centre for Independent Journalism (CIJ) memberitahu Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) bahawa kajian semasa liputan media di himpunan Bersih 2.0 mendapati kumpulan reformasi pilihan raya tidak diberikan liputan secukupnya.

“Laporan-laporan Utusan, misalnya terlalu negatif, menakutkan. Terdapat serangan peribadi terhadap (Datuk) Ambiga (Sreenevasan), satu usaha bersepadu untuk menggambarkan Bersih adalah jahat.

“Liputan Utusan akan menguatkan penggunaan kekerasaan ke atas peserta Bersih 2.0,” katanya kepada Pesuruhjaya Suhakam Datuk Dr Khaw Lake Tee dan Detta Seman.

Kajian dijalankan CIJ bermula dari 25 Jun hingga 11 Julai, kata Ding, hanya tiga peratus laporan Utusan menyiarkan kata-kata dari penganjur Bersih sementara bakinya memaparkan pihak-pihak yang menentang himpunan Bersih 2.0.

“Walaupun Utusan melaporkan laporan daripada sumber-sumber tanpa nama yang menuduh Bersih dibiayai oleh organisasi asing, kumpulan Kristian,” tambah Ding.

Secara perbandingan. katanya, akhbar lain seperti New Straits Times, The Star, dan The Sun memberi liputan yang agak baik tetapi masih berkurangan.

“Pembaca biasa akan mendapati sukar untuk mengerti tujuan (himpunan 9 Julai) dari akhbar-akhabr ini,” tambahnya.

Himpunan Bersih kali ketiga untuk pilihan raya bersih dan adil akan diadakan pada pukul 2 petang hingga 4 petang di Dataran Merdeka pada 28 April ini.

Kali ini, perhimpunan akan diadakan serentak di seluruh negara yang mungkin akan memberikan tekanan kepada kerajaan untuk bersetuju dengan permintaan agar melakukan reformasi sistem pilihan raya secara keseluruhannya.

Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai 2011, menjadi huru-hara apabila pihak berkuasa menggunakan gas pemedih mata dan meriam air untuk menghuraikan peserta perhimpunan.

Jalan-jalan utama di ibu negara telah dibanjiri peserta Bersih 2.0 sejak awal pagi walaupun amaran tangkapan telah dikeluarkan.

Lebih daripada 1,600 orang telah ditahan termasuk pemimpin Bersih 2.0 dan wakil rakyat parti pembangkang tetapi perhimpunan itu dikatakan berjaya berdasarkan jumlah peserta dan publisiti yang diperoleh dari dalam dan luar negara.

Kerajaan dengan segera menggubal undang-undang baru iaitu Akta Perhimpunan Aman selepas himpunan Bersih 2.0 dan membentuk Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) untuk reformasi pilihan raya, namun Bersih 2.0 percaya langkah itu kurang berkesan.

Ambiga mengatakan 22 cadangan PSC gagal untuk menyelesaikan masalah-masalah yang berlaku dalam sistem pilihan raya negara.

Tiada ulasan: