SHAH ALAM - Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub menegaskan, perlu ada asas yang kukuh sebelum menyokong cadangan penubuhan Suruhanjaya Diraja dalam isu dakwaan kononnya pemimpin pembangkang telah mempersendakan Raja-raja Melayu semasa istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong minggu lalu.
Penubuhan Suruhanjaya Diraja itu dicadangkan oleh Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kelmarin.
Menurut Salahuddin lagi, perkara tersebut perlu mempunyai laporan lengkap sebelum sebarang cadangan dipersetujui oleh semua pihak.
“Kita mesti mendapatkan bukti yang jelas sekiranya hal tersebut benar-benar berlaku. Sebab itulah saya mempertikaikan perkara tersebut.
“Bagi saya, tiada dalam dasar Pakatan Rakyat (PR) untuk melakukan kebiadaban, mempersenda dan tidak menghormati institusi Raja-raja Melayu di negara ini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Katanya, sekiranya hal tersebut jelas dan benar, PR menyokong syor dan cadangan yang diusulkan bagi mengheret pemimpin yang tidak bertanggungjawab itu ke muka pengadilan.
Rabu lalu, beberapa ahli parlimen pembangkang didakwa mempersenda dan mengejek Raja Melayu pada majlis pertabalan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Cadangan penubuhan Suruhanjaya Diraja ditubuhkan sebagai satu pengajaran kepada generasi muda supaya menghormati institusi Raja-raja Melayu.
Ia juga sebagai pedoman kepada semua pihak supaya lebih tertib apabila berada dalam majlis rasmi kerajaan dengan mengetepikan emosi walaupun mempunyai fahaman politik yang berbeza.
Sementara itu, seorang lagi Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bersetuju dengan cadangan penubuhan suruhanjaya ini bagi memastikan dakwaan ini benar ataupun sebaliknya.
“Kalau kita siasat sendiri, mereka kata tidak adil. Tidak ada sebab mengapa suruhanjaya tidak boleh diadakan kalau itu dapat meyakinkan orang ramai bahawa institusi raja perlu dihormati,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan