Naib Presiden Pas, Datuk Paduka Husam Musa berkata, langkah itu perlu dilakukan untuk mengkaji dengan lebih teliti tanggungjawab Kerajaan Negeri untuk membangunkan taraf hidup dan memperjuangkan kebajikan peneroka.
Beliau bercakap demikian ketika berucap pada majlis penutup Konvensyen Hala Tuju Felda, di Universiti Selangor (Unisel) di sini, hari ini.
Husam menambah, Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat boleh menyelamatkan nasib peneroka dengan segera mengeluarkan geran hak milik individu bagi peneroka-peneroka yang telah lama menyelesaikan bayaran premium atau lain-lain bayaran kepada Pejabat Tanah.
“Kerajaan Negeri tidak perlu menunggu rekomendasi Felda untuk mengeluarkan Geran Individu ataupun Hutang Bayaran Kembali (“Hutang BK”) antara peneroka dan Felda kerana hubungan tersebut adalah hubungan kontrak yang tiada kaitan dengan kerajaan negeri.
“Pemberian hak milik boleh diberikan walaupun peneroka masih mempunyai hutang Bayaran Kembali dengan Felda,” jelasnya.
Beliau menjelaskan, kesan kepada pemberian hak milik ini kepada peneroka dapat menghapuskan ruang ugutan Felda terhadap peneroka terutama berkenaan urusan tanam semula dan serah ladang.
Selain itu katanya, langkah ini dapat menghapuskan ruang ugutan berkenaan dengan pengusiran peneroka dari Kawasan Rancangan dan pengaplikasian peruntukan Akta GSA hanya tertakluk kepada peneroka yang masih belum mendapatkan hak milik sahaja.
Dalam pada itu, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan bahawa penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) ini perlu diselesaikan sebelum Jun benar-benar menjurus kepada maksud dana pilihan raya, dakwa Husam.
“Kepentingan peneroka adalah lebih penting dari percubaan mencari dana pilihan raya parti pemerintah. Apa lagi jika terselit tujuan mengaut keuntungan segera bagi segelintir yang berkuasa.
“Umpan 'durian runtuh' yang akan mengakhiri segala keistimewaan peneroka untuk selama-lamanya, baik generasi pertama mahupun mana-mana generasi selepasnya,” katanya.
Penghujung Mac lalu, Najib berkata akan mengumumkan ‘durian runtuh’ kepada para peneroka bersempena penyenaraian FGVH akan dibuat dalam satu perjumpaan besar-besaran bersama warga peneroka di Pahang bulan depan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan