Rabu, 26 Januari 2011

Putrajaya tiada rancangan gubal akta baru kawal kandungan Internet

TERKINI
THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Putrajaya mengetepikan kebimbangan banyak pihak dengan menegaskan bahawa kerajaan tiada rancangan untuk memperkenalkan undang-undang baru untuk mengawal kandungan media online termasuk Facebook.

Kerajaan juga berkata undang-undang semasa sudah cukup memadai untuk mengawal selia kandungan Internet.

Laporan Bernama semalam menyebut Kementerian Dalam Negeri akan membuat pindaan terhadap Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 supaya menjadi lebih komprehensif dan tidak terhad kepada bahan cetak semata-mata.

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Mahmood Adam, dipetik berkata pihaknya telah meminta Jabatan Peguam Negara mengkaji definisi penerbitan dalam akta itu sama ada ia boleh meliputi terbitan dalam bentuk multimedia termasuk kandungan Internet, Facebook dan perisian.

“Kita harap pindaan ini dapat dibentangkan di Parlimen pada Mac tahun ini. Kita perlu mengatasi kelemahan yang ada terutamanya apabila berdepan dengan bahan-bahan multimedia,” katanya semalam.

Bagaimanapun hari ini Putrajaya menjelaskan kerajaan mempunyai kuasa untuk mengetepikan janji dalam Bil Jaminan sebelum ini bahawa ia tidak akan menapis kandungan Internet selari dengan pembangunan Koridor Raya Multimedia, khususnya dalam perkara-perkara berkaitan dengan keselamatan nasional.

Ketika mengumumkan pendirian itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz berkata, dalam apa sahaja perkara yang memberi kesan ke atas keselamatan negara, undang-undang negara seperti Akta Hasutan, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan dan Akta Komunikasi dan Multimedia akan digunakan.

Kata beliau, kerajaan hanya menyediakan garis panduan untuk membantu orang ramai memahami dengan mendalam ketiga-tiga akta tersebut.

Garis panduan berkenan, menurut beliau, akan dikemukakan kepada orang ramai menerusi program jelajah negara yang akan diadakan dalam waktu terdekat.

Pengumuman semalam menimbulkan rasa tidak senang di kalangan pelbagai pihak, dengan kebanyakan mereka termasuk ahli-ahli politik menganggap tindakan sedemikian tidak perlu dan undang-undang sedia ada sudah memadai.

11 ulasan:

Anak Sabah berkata...

Harap kerajaan tidak akan mengawal ketat kandungan internet kerana ini menghadkan maklumat yang rakyat boleh capai dan juga mencabul kebebasan bersuara rakyat.

tombolo berkata...

kerajaan perlu juga mengawal kandungan internet tapi kena kawal yang sepatutnya seperti yang mempunyai unsur lucah, ganas dan yang mempunyai unsur hasutan.

madd berkata...

jika undang-undang semasa sudah cukup memadai untuk mengawal selia kandungan Internet maka, tidak perlulah akta baru digubal.

Antanum berkata...

Jika ada perubahan dan penambahan biarlah ianya selaras dengan keadaan pada masa kini. Kerajaan harus melakukan sesuatu untuk mengawal apa2 perlakuan yang tidak disenangi di dalam internet.

Antanum berkata...

Orang ramai seharusnya tidak melakukan sebarang unsur2 yang tidak dibenarkan dalam internet. Kita sama2 ingin membangunkan bangsa dan negara, diharap semua akan dapat memberi kerjasama.

Tanpa Nama berkata...

Saya rasa kerajaan tidak akan dapat menduga sejauh mana bantahan jika mereka bertindak mengawal kandungan internet. Saya optimis kalau kerajaan meneruskan tindakan ini, mereka akan terima bahana yang cukup teruk. ini bukan lagi membabitkan sekelompok usahawan atau golongan yang ada kepentingan politik tertentu tapi membabitkan rakyat yang lebih luas.

Tanpa Nama berkata...

apa2pun, saya harap penjelasan ini cukup untuk menenangkan semua pengguna internet di negara ini dan tidak perlu lagi menimbulkan sebarang spekulasi atau menganjurkan sebarang bantahan secara besar2an.

Mohd Ishak berkata...

Harap tiada pengawalan terlampau seperti di sesetengah negara Arab dan juga di China.

Sanih Alias berkata...

Bukan mudah untuk mengawalnya. Tetapi kerajaan perlu mencari jalan untuk mengurangkanya masalah pengunaan internet ini.

Paquin berkata...

Setiap perubahan atau pembaharuan yang mahu dilakukan pastikan ia seimbang bagi memastikan semua pihak dapat menerima baik perubahan yang dilakukan.

Paquin berkata...

Namun bagi saya, apa yang paling penting ialah rakyat tidak menyalahgunakan hak kebebasan bersuara. Kita memang bebas mengutarakan pandangan, namun jangan sampai menyentuh isu2 sensitif :)