Khamis, 27 Januari 2011

Jika pilihanraya umum, Sarawak serentak?

Jika keputusan pilihan raya negeri Sarawak tahun 2006 dijadikan ukuran, BN dengan kemenangan 62 daripada 71 kerusi DUN adalah sesuatu yang hampir mustahil bagi Pakatan Rakyat menawan negeri itu.

ANALYSIS

PETALING JAYA: Pengaruh semasa Barisan Nasional (BN) Sarawak dianggap sebagai salah satu faktor penentu bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengkaji sama ada untuk membubarkan Parlimen serentak dengan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Jika kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Mohd Naroden Majais baru-baru ini diambil kira, gambaran dapat dibuat bahawa BN Sarawak ketika ini tidak berada di kedudukan terbaiknya di mata masyarakat Sarawak dan memaksa Najib mengadakan pilihan raya serentak.

Keadaan ini dapat dilihat apabila beliau memberitahu antara manfaat mengadakan pilihan raya umum dan negeri serentak dapat mengurangkan asakan pemimpin pembangkang ke atas BN Sarawak.

“Bererti (kalau serentak), tumpuan parti pembangkang ke Sarawak dapat dikurangkan kerana sibuk berkempen untuk kawasan Parlimen dan DUN di negeri masing-masing,” katanya baru-baru ini.

Sarawak sebuah negeri yang dianggap sebagai ‘simpanan tetap’ BN, pilihan raya negeri sering diadakan lebih awal berbanding pilihan raya umum sekaligus dianggap sebagai permulaan momentum sokongan kepada BN di Sarawak dan seterusnya membadai ke pilihan raya umum di negeri lain.

Berbanding Najib ketika ini, Perdana Menteri terdahulu dengan berbekalkan keyakinan tinggi, tidak pernah gusar akan kekuatan BN Sarawak bagi memberikan laluan kepada pilihan raya negeri Sarawak diadakan terlebih dahulu.

Bagi Perdana Menteri terdahulu mencari ‘ilham’ untuk menetapkan tarikh pembubaran parlimen, bukanlah suatu perkara merumitkan seperti yang dialami oleh Najib.

Keputusan pilihan raya Sarawak yang sentiasa memihak kepada BN dengan majoriti tinggi menjadi pemangkin kepada Perdana Menteri terdahulu dan BN untuk terus meraih sokongan daripada pengundi dalam pilihan raya umum di Semenanjung dan Sabah kemudiannya.

Namun sebaliknya, Najib kini kelihatan teragak-agak untuk memberikan laluan kepada pilihan raya negeri Sarawak diadakan dahulu sebelum pilihan raya umum menyusul selewat-lewatnya pada 2013.

Menghidu masalah

Keadaan ini seolah membawa petanda Najib telah menghidu masalah di Sarawak sehingga memaksa beliau mengambil langkah mengadakan pilihan raya umum dan negeri Sarawak serentak bagi mengurangkan risiko terhadap negeri ‘simpanan tetapnya’ itu.

Jika perkiraan mudah dengan keputusan pilihan raya negeri Sarawak tahun 2006 dijadikan ukuran, BN dengan kemenangan 62 daripada 71 kerusi DUN adalah sesuatu yang hampir mustahil bagi Pakatan Rakyat menawan DUN Negeri Sarawak.

Meskipun imej Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Taib Mahmud pada ketika ini dikatakan merudum akibat dikaitkan dengan pelbagai skandal, namun perkembangan teknologi maklumat khususnya di kawasan pendalaman yang ketinggalan berbanding Semenanjung memberi kelebihan kepada BN.

Pada masa ini, masyarakat luar bandar di Sarawak masih kekurangan akses kepada maklumat alternatif lain kecuali maklumat yang disalurkan oleh media-media arus perdana pro kerajaan.

Berdasarkan perkiraan di atas, logiknya ia tidak mengusarkan Najib untuk memberi laluan kepada pilihan raya Sarawak diadakan terlebih dahulu dan jauh sekali mengambil risiko awal dengan mengadakan pilihan raya umum seawal dua tahun sebelum tamat penggal.

Tambahan pula, Najib dengan langkah mempercepatkan pilihan raya umum dua tahun lebih awal sebelum tamat penggal, perkiraan ke atas risiko jangka hayat karier politiknya dan pentadbirannya di Putra Jaya tentunya menjadi perkiraan yang lebih utama.

Satu-satunya pilihan yang ada buat Najib bagi memastikan jangka hayat politik dan kedudukan BN di Putra Jaya berpanjangan bukanlah sekadar perlu menang dalam pilihan raya tetapi harus menang dengan majoriti lebih selesa berbanding sekarang.

Kegagalan BN memperolehi mandat lebih selesa daripada yang ada ketika ini bakal membuka ruang bukan sahaja ancaman daripada pihak pembangkang di luar Umno, malahan turut membuka ruang ancaman dari dalam Umno sendiri seperti mana yang dialami oleh mantan PM, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Isyarat kepada BN

Sekiranya Najib masih mahu mengadakan pilihan raya umum serta DUN Sarawak serentak dan kemudiannya BN gagal memperolehi majoriti lebih baik, sudah tentu banyak tangan akan menudingkan kesalahan ke arah Najib selaku pihak yang mengilhamkan tarikh pilihan raya serentak ini.

Menurut seorang penganalisa politik, Nobisha dalam blognya telah mengunjurkan pertambahan kerusi bagi Pakatan Rakyat dalam pilihan raya negeri Sarawak paling tinggi tidak lebih daripada 13 kerusi berbanding sekarang, sembilan kerusi yang mampu dimenangi oleh Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun seorang penganalisis politik dari Sarawak mempertikaikan unjuran beliau itu apabila mengatakan unjuran tersebut terlalu tinggi.

Bagi kerusi parlimen pula, unjuran yang beliau berikan hanyalah pertambahan satu kerusi daripada dua kerusi termasuk Parlimen Sibu yang dimenangi DAP dalam pilihan raya kecil sebelum ini.

Jika unjuran ini dijadikan ukuran dan Najib memutuskan untuk mengadakan pilihan umum dan DUN Sarawak secara berasingan, pertambahan walaupun satu kerusi pembangkang di negeri ‘simpanan tetap’ BN itu sudah cukup untuk dianggap sebagai isyarat yang tidak memihak kepada BN dalam pilihan raya umum ke 13 nanti.

Tambahan pula, kedudukan kerusi parti-parti politik di DUN mampu mempengaruhi corak undian pengundi ketika mengundi bagi kerusi parlimen untuk menentukan kerajaan pusat.

Kesemua risiko ini tentunya telah dinilai sedalam-dalamnya oleh Najib berbanding semata-mata kemahuan yang meluap bagi mendapatkan mandat baru yang pertama miliknya sebagai PM.

Jelas senario politik negara ketika ini tidak memberikan sebarang jaminan untuk Najib meneruskan tradisi Perdana Menteri sebelumnya yang menerima mandat yang cemerlang tatkala mengadakan pilihan raya pertama dalam era pentadbiran masing-masing.

Mengadakan pilihan raya umum dan negeri Sarawak serentak antara pilihan yang mampu memberi kelebihan kepada BN Sarawak, tetapi secara keseluruhannya ianya tidak menjamin apa-apa kelebihan kepada Najib dan BN di peringkat pusat.

18 ulasan:

Anak Sabah berkata...

Tidak kira bagaimanapun, diharapkan Sarawak akan bersedia menghadapi pilihan raya ini.

madd berkata...

masih belum tahu lagi sama ada PRU akan dibuat serentak atau tidak dengan pilihan raya Sarawak.

madd berkata...

apa pun, tidak kira lah bila pilihan raya akan diadakan, yang penting semua kena bersedia.

Leo berkata...

Entahlah. Mungkin bagus juga kalau pilihanraya umum serentak dengan Sarawak.

Leo berkata...

Apapun, yang penting semua dah membuat persediaan awal untuk menghadapi pilihan raya Sarawak.

Leo berkata...

Pastikan bertanding secara adil dan bersih!

tombolo berkata...

terpulang pada najib samada nak buat piliharanya negeri sarawak dgn umum serentak ataupun tidak. tp kena pastikan pilihan yang dibuat benar2 tepat.

Tanpa Nama berkata...

jika Najib mahu pilihanraya itu diadakan serentak, itu terpulang dengan beliau. mungkin tindakan beliau itu bertujuan untuk menjimatkan kos selain memberi peluang kemenangan besar kepada BN.

Tanpa Nama berkata...

walau apapun, sama ada pilihan raya diadakan serentak atau tidak ia merupakan hak istimewa Ketua Menteri dan Perdana Menteri untuk menentukan.

Antanum berkata...

Belum ada tarikh yang ditetapkan. Hanya mampu untuk menanti tarikh itu di tetapkan.

Antanum berkata...

Yang penting ada persediaan awal, untuk mengahadapi pilihanraya. Tidak perlu untuk meneka bilakah tarikh itu diadakan.

Tanpa Nama berkata...

jika pilihanraya umum dan negeri diadakan serentak, ia mgkin lebih baik kerana ia lebih menjimatkan kos dan fokus kempen lebih luas. apapun, itu terpulang pada PM untuk menentukannya.

Mohd Ishak berkata...

Tunggulah pengumuman rasmi mengenai tarikh pilihan raya umum.

Bhatera berkata...

Apa perkara boleh berlaku. Jika BN lalai ditempat sendiri tidak mustahil BN akan kalah. Maka BN harus sentiasa berjuang untuk rakyat.

Sanih Alias berkata...

Harap BN dapat mempertahankan kerusi masing-masing di Sarawak. Semoga BN terus memerintah.

Paquin berkata...

Tak kisahlah bila pilihanraya mahu dibuat. Yang pasti semua pihak harus bersiap sedia.

Paquin berkata...

Semoga BN akan terus membuktikan kemampuan mereka kepada rakyat agar rakyat sentiasa memberikan sokongan yang terbaik.

Anak Sabah berkata...

Mungkin ia akan diadakan serentak, mungkin tidak. Tunggu saja pengumuman daripada pihak berkuasa.