Oleh Faizal Ezzany
SHAH ALAM - Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar menyifatkan laporan polis yang dibuat terhadapnya berhubung kenyataan beliau yang disiarkan dalam sebuah majalah di Indonesia mengenai isu kapal selam Scorpene mencerminkan sikap sebenar kerajaan Umno-Barisan Nasional yang gagal mengembalikan keyakinan rakyat.
Malah Nurul Izzah terkejut dengan reaksi sebuah kerajaan yang sudah memerintah selama 50 tahun tetapi melenting kepada setiap kritikan yang dilemparkan terhadapnya.
"Tindakan membuat laporan polis jelas membuktikan kerajaan tidak memandang serius dengan isu yang dibangkitkan. Sepatutnya sebuah kerajaan yang memerintah lebih 50 tahun melihat setiap kritikan secara positif bukan hanya tahu melenting serta membuat laporan polis.
"Jika ini yang selalu dilakukan oleh Umno setiap kali kritikan dibuat bagi saya pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak akan ke mana, malah soal kestabilan ekonomi negara juga tidak akan mendapat jaminan yang sewajarnya," kata beliau ketika dihubungi Suara Keadilan.
Nurul Izzah berkata sebagai ahli parlimen, beliau perlu memberi penjelasan apabila ditanya media Indonesia mengenai isu pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu dan kaitan kematian tragiknya dengan pembelian kapal selam Scorpene.
"Saya ditanya tentang soalan yang telah diketahui oleh seluruh dunia berkaitan pembunuhan warga negara Mongolia Altantuya Shaariibuu serta soalan berhubungan dengan kapal selam.
"Saya bukannya mengeluarkan kenyataan yang palsu atau mengada-gadakan cerita. Kenapa kita perlu berbohong sedangkan perkara tersebut telah diketahui umum, kita tahu seluruh dunia mengetahui apa yang telah terjadi di negara ini dan juga kepincangan pentadbiran Barisan Nasional apatah lagi soal komisyen dalam pembelian peralatan ketenteraan," jelas beliau.
Beliau juga pihak yang menyokong Umno-BN menyalahgunakan polis untuk menutup sebarang usaha pemimpin Pakatan Rakyat untuk menimbulkan isu yang mempunyai kepentingan awam.
"Saya kecewa dengan apa yang berlaku sekarang, agensi yang sepatutnya menjadi tempat untuk kita mendapat perlindungan telah disalahguna oleh Umno. Pihak polis kena tahu mereka bukannya milik BN tetapi milik semua rakyat negara ini dan tidak kira apa jua parti, kedudukan mahupun kaum.
"Apabila pemimpin Pakatan Rakyat bangkitkan isu rakyat, Umno akan gunakan kuasa untuk mengarah apa jua agensi yang boleh diperalatkan bagi memastikan pergerakan pemimpin itu akan terhalang seperti yang berlaku kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan juga apa yang saya alami," ujarnya lagi.
Sementara itu, menulis dalam blognya semalam, Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim berkata sesiapa sahaja boleh memberi pandangan mereka terhadap kepincangan dan juga kelemahan dasar BN.
"Nurul Izzah dan sesiapa sahaja boleh dan wajar memberi pandangan mereka terhadap kepincangan dan kelemahan dasar BN, dalam negeri ataupun di luar negeri. Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein akan cuba mengelak daripada isu-isu ini dengan menggunakan benteng "Negara" dan sebagainya, tetapi rakyat tahu bezanya antara Negara dan kerajaan BN.
"Menteri Kabinet yang kanan seperti Ahmad Zahid dan Hishammuddin sepatutnya memberi tumpuan dan masa mengulas dasar negara yang penting seperti Model Ekonomi Baru, atau kekerapan insiden perkauman kebelakangan ini, ataupun mengapa begitu ramai peneroka Felda membuat tuntutan mahkamah terhadap Felda.
"Boleh juga kalau mereka menerang proses perlantikan guru besar di sekolah negara ini, sehinggakan yang mengutarakan pendapat jijik perkauman dan fasis pun boleh jadi guru besar; dan tanpa apa-apa tindakan diambil terhadap mereka. Malangnya kenyataan yang kita dengar dari kedua-dua Menteri kanan ini berkisar menyerang Nurul Izzah kerana komen dan pendapat beliau mengenai ekonomi negara dan keadaan kapal selam yang kita beli dalam wawancara dengan majalah Indonesia, Tempo.
"Nurul Izzah sekarang sudah menjadi sasaran, kedua-dua Menteri itu berkata Nurul Izzah memburuk-burukkan imej dan nama negara. Malah laporan polis pun dibuat oleh orang orang yang tak ada kerja. Dengan lain perkataan komen dan pendapat Nurul mestilah memuji kerajaan BN barulah ia dikatakan memuji negara dan menjaga nama baik negara. Bila dia mengkritik dan menyoal Kerajaan BN dan keputusan kerajaan maka itu bererti Nurul memburukkan nama baik negara," jelas beliau.
Zaid juga menyifatkan pemikiran dan logik terhad ini yang menjadi punca segala permasalahan.
"Mereka ini tak tahu membezakan negara dan kerajaan. Sebab itu duit rakyat digunakan sebagai duit BN. Institusi awam seperti Suruhanjaya Pilihan Raya, Polis DiRaja Malaysia juga digunakan oleh mereka seperti hak BN.
"Untuk pengetahuan mereka, negara ini milik rakyat Malaysia tanpa mengira parti politik tetapi kerajaan BN ini bukan milik semua rakyat. Dasar ekonomi dan pembelian kapal selam dibuat oleh kerajaan BN, maka sesiapa saja termasuk Nurul Izzah boleh mengulas dan mengkritik dasar itu. Apa kena mengena dengan maruah negara? Hanya maruah BN yang tercemar dengan kritikan itu," kata Zaid lagi.
8 ulasan:
Saya setuju bila Nurul mengatakan bahawa, bila disoal beliau sepatutnya menjawab segala pertayaan dengan cara yang professional. Namun, tidak ada bunti konkrit yang menyatakan bahawa beliau terlibat dengan kes2 yang telah disebut.. kebanyakkan adalah hanya pandangan atau pendapat sendiri sahaja.
kalau jawapan kepada soalan itu telah diketahui oleh seluruh dunia, rasanya Nurul Izzah tidak perlu lagi menjawab pertanyaan tersebut. seluruh dunia tidak tahu apa itu kerajaan BN, tetapi mereka tahu apa itu Malaysia. secara tidak langsung, Nurul Izzah telah menyerang negara Malaysia bukannya kerajaan BN.
orang hanya tahu Malaysia Nurul Izzah, dan orang negara luar tidak tahu BN itu apa. Sekiranya apa yang Nurul Izzah katakan akan mencemarkan Malaysia dan bukannya mencemarkan kerajaan BN.
Memang kita kena jawab jujur, sejujurnya. Tapi selagi takda bukti konkrit, setiap perkataan yg keluar dari mulut harus ditapis... Jangan cakap ikut andaian semata-mata.
Betul tu neiji sheito. Jadi kalau boleh berpada-padalah bila berkata-kata. Nama baik negara harus dijaga!
tidak salah jika kita ingin bercakap atau ingin memberikan kritikan, tapi kita kenalah jaga imej negara kita sendiri.
Nurul Izzah hnya mengeluarkan pendapat dan pandangan beliau, namun semasa menegeluarkan pendapat, ia kenalah menjaga nama baik negara, kerana perkara ini boleh memalukan negara Malaysia.
Sebenarnya mengikuti pemerhatian saya, PKR juga suka sangat membuat laporan polis. NGO juga. Kalau bukan membuat laporan polis, maka memaksa kertas putih diadakan. Mainan politik semua ini.
Catat Ulasan