Selasa, 24 Ogos 2010

RAMAI PROFESIONAL SERTAI PKR TENOM


Oleh: NUR NATASHA FAUZI (sabahkini)

PELAN ‘Transformasi PKR’ Tenom yang diasaskan Ambrose Mail Mathew nampaknya semakin mendapat sambutan hangat akar umbi malah terdapat bekas beberapa pemimpin UMNO Bahagian di sini telah meninggalkan parti itu dan menyertai PKR dalam satu upacara ringkas di Sokid Villa, kediaman rasmi Naib Presiden PKR Kebangsaan, Datuk Dr Jeffrey Kitingan pada minggu lepas.

Demikian dinyatakan mantan Penolong Pengarah Kastam Negeri Sabah, Richard Joe Jimmy yang telahpun mendapat semula keahliannya dalam PKR baru-baru ini, optimis bahawa PKR dan PR seakan-akan sudah bersedia untuk menumbangkan kerajaan Umno/BN pada PRU13 akan datang ini.

Bagaimanapun kata Joe lagi, kekuatan PKR dan PR hanya akan dapat direalisasikan hasilnya, banyak bergantung kepada formula kesepakatan yang tulen oleh semua pemimpin tanpa mengira kelas dan warna kulit terus berganding bahu dan bekerjasama dalam satu pasukan; termasuk mengikis sikap yang lebih cenderung kepada sifat-sifat suka meragui dan syak wasangka yang bukan-bukan terhadap diri seseorang.

“Saya bersetuju bahawa, wacana yang ditonjolkan Ambrose Mail sebelum ini yang berminat meletakkan pemimpin muda, berwibawa, berintergriti dan berpendidikan untuk membarisi kepimpinan bahagian selain pemimpin muka lama adalah langkah sebaik baiknya diketengahkan supaya saf kepimpinan bahagian lebih mantap dan berwibawa,” tegas Joe lagi.

Dalam pada itu, Yafta Musa, 40, bekas Penolong Setiausaha Bahagian Umno Tenom yang baru menyertai PKR ketika ditanya halatuju perjuangannya yang kini sudah berada dalam pembangkang, Yafta berkata, selepas ini sudah tentu ada yang berkata khususnya pemimpin Umno yang mendakwa bahawa penyertaannya dalam PKR semata-mata untuk mencari pangkat dan jawatan.

“Kita sendiri pun dapat lihat apa keupayaan pembangkang memberi saya pangkat dan jawatan yang perlu dimegah-megahkan, kalau pun ada, ia hanyalah jawatan dan pangkat dalam parti yang tiada dibayar apa-apa walau sesen pun tetapi bagi saya itu tidak mengapa dan yang penting kita mengajak rakyat menumbangkan kerajaan yang sudah lari daripada landasan sebenar seperti Umno dan BN,” kata Yafta yang berharap agar rakyat Sabah dapat menggantika kerajaan yang ada sekarang kepada sebuah kerajaan baru, seperti PKR-PR yang benar-benar dapat membela rakyat dan mampu mengapungkan semula ekonomi negara yang sudah terjunam ke bawah sekarang.

Sehubungan itu kata Yafta, beliau bersetuju dengan pelawaan Ambrose Mail dan menyokong beliau kerana perjuangannya dilihat ada kesungguhan untuk menentang korupsi atau politik wang seperti yang diamalkan Umno dalam setiap kali pemilihan mereka.

Amalan korupsi dan pemimpin yang bekas pengamal korupsi, kata Yafta, tidak patut diberi peluang lagi dalam PKR, tetapi bukan bermaksud pemimpin yang dituduh dalam forum politik kerana tiada bukti yang jelas.

Yafta mengakui bahawa sebenarnya beliau telah menghantar borang keahliannya dalam PKR selepas PRU12 tetapi baru sekarang ini beliau mengaktifkan terus perjuangannya dalam PKR bersama-sama dengan muka baru, Dr Lehendry Kaunsir yang merupakan mantan Pengarah Hospital Daerah Tenom tetapi telah meletakkan jawatan dalam perkhidmatan awam dan kini membuka Klinik Perubatan di Penampang.


Tiada ulasan: