Isnin, 23 Ogos 2010

Pakatan Rakyat Cabar Umno Buat Laporan Polis Isu Khutbah


SUARA KEADILAN

PULAU PINANG - Umno dicabar membuat laporan rasmi kepada polis atau Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) terhadap mana-mana khatib atau imam masjid di Pulau Pinang yang didakwa menggantikan nama Yang DiPertuan Agong dengan nama Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Umno tidak patut terus bermainkan politik dalam perkara penting ini tetapi sebaliknya parti itu patut membuat laporan rasmi dengan segera bersama dengan semua butir lanjut supaya tindakan dapat diambil.

Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman dan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Abdul Malik Kassim, kerajaan negeri Pulau Pinang sekali lagi menafikan dengan keras dakwaan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tentang penggunaan nama Ketua Menteri dalam doa khutbah kedua solat Jumaat bagi menggantikan nama Tuanku Mizan Zainal Abidin.

"Teks khutbah Jumaat yang dibacakan oleh para khatib atau imam yang disediakan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JHEAIPP) tidak pernah menggunakan nama Ketua Menteri bagi menggantikan nama Yang DiPertuan Agong. Kerajaan negeri dan JHEAIPP juga tidak pernah menerima atau mengeluarkan arahan secara lisan mahupun bertulis kepada mana-mana pihak untuk tujuantersebut.

"Permainan politik Umno ini berniat jahat dan telah mencemarkan nama baik golongan khatib dan imam di Pulau Pinang, yang bukan sahaja mendokong syiar Islam yang syumul dan menyeluruh tetapi juga setia kepada Raja dan Negara.

"Beberapa ahli kariah masjid yang berikan keterangan menyokong dakwaan Umno berkata nama Ketua Menteri ada disebut. Tetapi ia disebut oleh khatib atau imam dalam konteks memohon kepada Allah supaya Ketua Menteri diberi petunjuk dan hidayah untuk memeluk Islam. Ini adalah perkara lain daripada menggantikan nama Yang DiPertuan Agong dengan Ketua Menteri. Adalah difahamkan ahli kariah tersebut adalah orang Umno," kata kedua pemimpin kerajaan negeri itu.

Mereka berkata siasatan hendaklah dijalankan untuk menentukan khatib atau imam masjid mana yang terlibat dan sekiranya benar tindakan tegas akan diambil.

"Hanya khatib atau imam yang tak siuman berani menggantikan nama Yang DiPertuan Agong dengan nama Lim Guan Eng. Sekiranya dakwaan ini benar, kami tidak akan teragak- agak mengambil tindakan tegas.

"Dakwaan yang lebih merupakan fitnah terhadap kerajaan negeri, adalah sangat serius kerana boleh mencetuskan kemarahan, kebencian dan ketegangan kaum dan agama dan membawa insiden yang tidak diingini. Lim Guan Eng, yang tidak pernah campur tangan dalam hal ehwal pentadbiran Islam, pun dianiayai," tegas mereka.

Tambah Mansor dan Abdul Malik lagi, usaha Umno menggambarkan kononnya kerajaan negeri menindas bangsa Melayu dan agama Islam tidak akan berjaya kerana hakikatnya penghormatan yang diberikan oleh kerajaan Pakatan Rakyat kepada Islam tidak pernah dilakukan oleh kerajaan Umno-Barisan Nasional terdahulu.

"Contohnya ialah peruntukan untuk pentadbiran hal ehwal agama Islam telah ditambah sebanyak 100 peratus daripada RM12.3 juta pada 2008 kepada RM24.3 juta pada 2010, sumbangan Ihya Ramadhan dan bantuan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR), sambutan bulan Al-Quran, anugerah huffaz dan istimak hufaz.

"Adakah Umno-BN marah kerana kesudian Ketua Menteri untuk hadir di majlis agama Islam, umpamanya sumbangan Ihya Ramadan, sambutan Maulidur Rasul, menganjurkan majlis berbuka puasa di masjid di Pulau Pinang yang tidak pernah dilakukan oleh Ketua Menteri sebelum ini?" tanya mereka.

Kata mereka sumbangan Ihya Ramadan, yang diluluskan oleh Ketua Menteri telah disampaikan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Serbaguna Jawi kepada semua masjid.

"Ketua Menteri hanya hadir bersama. Ini boleh disahkan oleh semua masjid yang hadir.

"Lagipun Lim Guan Eng merupakan di antara Ketua Menteri yang paling awal sekali mengharamkan judi bola yang diluluskan oleh Umno. Adakah Umno simpan dendam dalam hati kerana Lim Guan Eng, sungguhpun bukan Islam, telah memalukan Umno dengan mengharamkan judi bola yang dihalalkan oleh Umno?" soal mereka lagi.

Tiada ulasan: