Isnin, 9 Ogos 2010

Khir, Noh ‘bersatu’ di akhir jelajah gelombang dua minggu


Noh: Kami bersama di sini dan kami berkongsi perjuangan yang sama
KLANG — Di sebalik spekulasi beberapa minggu wujudnya perpecahan dan perselisihan, pemimpin-pemimpin Umno Selangor muncul pada pentas yang sama di sini malam tadi untuk memperlihatkan kemantapan hubungan mereka.

Bekas menteri besar Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo dan Datuk Seri Noh Omar berkongsi pentas pada pertemuan terakhir program ceramah sempena Gelombang Selamatkan Selangor Darul Ehsan (SSDE) di Kampung Jalan Kebun di sini.

Umno Selangor menganjurkan 19 ceramah sempena program Gelombang Selamatkan Selangor Darul Ehsan bermula 23 Julai lalu.

Program fasa satu itu memberikan gambaran lebih jelas kepada rakyat Selangor mengenai isu-isu kontroversi termasuk membabitkan dakwaan penyelewengan anggota pentadbiran, tadbir urus anak syarikat yang buruk dan isu peribadi serta moral pemimpin kerajaan Pakatan Rakyat.

Dr Khir, Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri dan Noh, yang kini merupakan Timbalan Pengerusi Umno Selangor, dilihat sebagai pesaing kepimpinan negeri dan jarang bersemuka.

Pada bulan lalu kedua-dua mereka muncul pada sidang akhbar berasingan untuk mengecam kepimpinan negeri berhubung isu perlombongan pasir secara haram di Selangor.

Kedua-dua mereka dilihat menggunakan isu pasir untuk memperlihatkan pengaruh politik masing-masing di Selangor.

Bagaimanapun malam tadi, Noh dan Dr Khir bercakap pada ceramah yang sama dan kemudian mengadakan sidang media bersama.

Noh, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, khabar angin itu sengaja disebarkan oleh Pakatan Rakyat yang terdesak sehingga mahu memecahbelahkan Umno Selangor.

“Kami bersama di sini dan kami berkongsi perjuangan yang sama,” katanya.

Noh menambah, beliau gembira sambil menyifatkan sokongan orang ramai sepanjang program jelajah sepanjang dua minggu lalu sebagai sesuatu yang luar biasa.

Sentimen itu turut disokong oleh Dr Khir.

“Kami akan meneruskan usaha ini,” kata beliau.

Turut hadir bersama dua pemimpin itu ialah Senator Ezam Mohd Nor.

Tiada ulasan: