Jimadie Shah Othman |
“Kalau bertanding pun mungkin hanya di peringkat cabang Lembah Pantai sahaja,” kata sumber-sumber yang dekat dengannya kepada Malaysiakini semalam.
Menjelang pemilihan parti November tahun ini, pertembungan antara Shamsul dan Badrul memang sudah dijangkakan.
Bagaimanapun kemunculan kembali Rafizi – yang pernah meletakkan jawatan sebagai anggota MPP dan exco AMK pada 2004 – agak mengejutkan selepas 'ditarik' daripada dunia korporat ketika sedang meningkat naik dalam kariernya.
“Ya, saya akan bertanding jawatan ketua AMK,” katanya kepda Malaysiakini sambil menjelaskan pengumuman rasmi berhubung perkara tersebut akan dibuat pada minggu depan.
Menurut Rafizi - bekas pemimpin pelajar di United Kingdom - beliau menawarkan diri bertanding bagi memperkenalkan “model pendekatan baru” anak muda yang “bukan semata-mata bersandarkan ghairah dan semangat”.
Kumpulan 'direstui' Anwar
Secara realistik bagi memengangi pilihan raya, Rafizi berpendapat, AMK perlu pendekatan baru bagi menarik sokongan anak muda sebagai golongan penentu yang dalam masa yang sama “kurang berminat dalam politik”.
“Kita perlu melepasi (perasaan) sentimental reformasi (1998),” kata bekas pegawai kanan di Petronas Carigali Sdn Bhd dan Pharmaniaga Berhad itu yang kini bertugas sebagai Ketua Eksekutif di Pejabat Penasihat Ekonomi Negeri Selangor.
Kumpulan ini yang khabarnya 'direstui' Anwar ini difahamkan disokong sekumpulan ahli parlimen muda PKR, antaranya Nik Nazmi Nik Ahmad (kanan, berkaca mata) (Seri Setia) dan Sim Tze Tzin (Pantai Jerejak).
Sementara Shamsul pula mendapat dokongan seorang lagi naib ketua AMK Khairul Anuar Ahmad Zainudin, juga seorang aktivis kesatuan sekerja yang pernah ditahan di bawah akta kontroversi ISA.
“Ya, saya tawarkan diri sebagai timbalan ketua AMK bagi membantu Shamsul Iskandar (sebagai ketua AMK),” katanya kepada Malaysiakini.
Namun dipercayai walaupun perlembagaan baru PKR menetapkan pemimpin AMK mestilah disandang oleh mereka yang berumur 35 tahun ke bawah, tetapi ini hanya akan dikuatkuasakan pada sesi akan datang bagi mempersediakan sayap parti itu kepada “peralihan”.
'Berseorangan belum tentu sunyi'
Sementara itu, berbeza dengan Rafizi dan Shamsul, Badrul yang meraih populariti dengan pelbagai 'gimik' politik dan kepetahannya berceramah pula masih dilihat lone ranger atau berseorangan.
Beliau yang kerap bergerak melalui Solidariti Anak Muda Malaysia - NGO yang diasaskannya - enggan mendedahkan lagi siapa gandingannya atau menawarkan diri.
Menganggap pemilihan parti sebagai “urusan keluarga”, bekas guru itu berkata: “Dalam keluarga, takkanlah kita harus kata adik lebih baik daripada abang, (atau) abang lebih baik daripada adik”.
Katanya, tenaga itu lebih baik digembleng bersama bagi menumbangkan kerajaan BN.
Mengulas tentang tanggapan beliau berseorang dalam PKR, sambil ketawa Badrul berkata: “Berseorangan belum tentu sunyi, berdua belum tentu tak sunyi.”
Sementara itu, walaupun hampir pasti berlaku pertembungan tiga penjuru November nanti, seorang lagi pemimpin cabang Hasmi Hashim – satu-satunya calon yang pernah menentang Shamsul pada sesi lalu, masih tidak jelas kedudukannya.
“Kali ini (saya) akan dengar, timbang dan bincang dengan anggota AMK, pimpinan dan keluarga dulu,” katanya yang kritikal kepada kumpulan Shamsul dan Badrul itu.
PKR bakal mengadakan pemilihan parti secara langsung bermula dengan proses pencalonan di peringkat cabang (bahagian) lewat bulan ini, sebelum mengundi memilih pucuk pimpinan tertinggi parti itu pada November depan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan