PUTRAJAYA — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan pertemuan dengan Gabungan Pilihan Raya Bebas dan Adil (Bersih) 2.0 dalam waktu terdekat bagi perbincangan berhubung memorandum tuntutan pembaharuan sistem pilihan raya yang dikemukakan minggu lalu.
“Saya belum melihat kandungan memorandum itu, tetapi pegawai-pegawai saya memberitahu bahawa tidak banyak berbeza berbanding apa yang telah disebutkan sebelum ini.
“Bagaimanapun saya akan bertemu dengan mereka nanti,” kata Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof ketika ditemui The Malaysian Insider di pejabatnya Isnin lalu.
Bagaimanapun beliau tidak dapat menetapkan tarikh pertemuan dengan Bersih 2.0.
Abdul Aziz menekankan sejak Himpunan Bersih pertama kali diadakan sejak 2007 SPR telah melakukan banyak perubahan dan penambahbaikan terhadap sistem pilihan raya, antaranya sistem undi pos.
Himpunan Bersih pertama yang disertai parti-parti politik telah diadakan pada akhir 2007, beberapa bulan sebelum pilihan raya umum 2008.
PAS dan PKR yang mengadakan mesyuarat tahunan masing-masing di Kota Baru baru-baru meluluskan usul agar diadakan Himpunan Bersih kedua bagi menuntut reformasi sistem pilihan raya.
Bagaimanapun kini Bersih 2.0 kembali semula selepas dua tahun melakukan pembersihan dirinya daripada parti politik, dengan ikrar untuk tidak lagi turun kejalanan untuk mencapai matlamatnya.
Menurutnya, Bersih 2.0 yang kini bersih daripada pengaruh parti politik, tidak mempunyai niat untuk mengadakan perhimpunan besar seperti sebelum ini, tetapi sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha mendidik rakyat.
Beliau menegaskan bahawa Bersih 2.0 akan menjadi sepenuhnya gerakan awam, manakala parti politik tidak diterima untuk menyertainya.
Ia menyerahkan memorandum yang menyenaraikan 15 cadangan pembaharuan pilihan raya kepada SPR 9 Julai lalu.
Antara cadangan tersebut ialah mendesak SPR mengambil langkah menyeluruh untuk mendaftar lebih empat juta pengundi baru di seluruh negara.
Pengerusi Bersih Datuk Ambiga Sreenevasan berkata, mereka menerima banyak aduan mengenai halangan untuk mendaftar pengundi baru, dan menjadi tanggungjawab SPR untuk membantu mereka mendaftar pengundi.
Ia juga menuntut supaya setiap aduan mengenai kesalahan pilihan raya disiasat dan tindakan diambil jika kesalahannya terbukti.
Ambiga yang juga bekas pengerusi Majlis Peguam dipetik berkata memorandum itu adalah sebahagian daripada matlamat gabungan itu untuk mengadakan dialog dengan semua pihak terbabit, terutamanya SPR.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan