Khamis, 15 Julai 2010

TPM: Transformasi politik Umno lambat...

BERNAMA


Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Umno perlu melakukan proses pembaharuan politik dengan segera bagi mendapatkan semula keyakinan rakyat.

Menurutnya, proses pembaharuan politik Umno masih perlahan dan sekiranya parti tidak mengambil tindakan segera berhubung perkara itu, ia mungkin akan menjadi ancaman kepada parti dalam pilihan raya umum akan datang.

"Proses tranformasi politik (Umno) agak lambat sedikit. Kita harus usahakan apa sahaja kehendak rakyat supaya keperluan yang hendak dilihat masyarakat dilaksanakan.

"Ia perlu dibuat segera. Satu proses pembaharuan perlu dibuat segera," katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Jeli, di Jeli hari ini.

Beliau berkata malahan proses pembaharuan di dalam kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) telah berjaya dilaksanakan.

Muhyiddin berkata daripada aspek pembaharuan dalam kerajaan BN, telah banyak perubahan dilakukan termasuk menyalurkan pelbagai bantuan kepada rakyat daripada aspek pendidikan, golongan miskin, meningkatkan jumlah usahawan Bumiputera dan pelbagai lagi bantuan.

Katanya rakyat juga mahukan kerajaan pimpinan BN menangani segera isu membabitkan rasuah, jenayah dan pendidikan.

"Kesemua perkara itu telah diambil perhatian kerajaan dan tindakan segera diambil," katanya.

Hakikatnya senario politik negara telah berubah dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini sehingga menyebabkan Umno dan BN mengalami kejutan politik dan hilang beberapa negeri kepada pembangkang termasuk kehilangan majoriti mudah di Parlimen pada pilihan raya umum 2008, katanya.

Timbalan Presiden Umno itu berkata rakyat sudah terdidik dengan lebih baik berikutan kehadiran internet yang dapat menyalurkan maklumat dengan pantas.

Katanya rakyat kini sudah bijak menilai pemimpin mereka berdasarkan maklumat yang diperolehi biarpun sudah 64 tahun Umno dan BN berjuang untuk rakyat termasuk menyalurkan pelbagai bantuan kepada rakyat.

"Ada persepsi kita sudah lama berkuasa, pimpinan yang ada tidak lagi peka dan prihatin, tidak lagi layan rakyat dan tidak ketahui perkembangan yang
berlaku di bawah kerana kita leka dengan apa yang kita nikmati selama ini.

"Sebab itu bila sampai pilihan raya umum, mereka pergi ke peti undi dan tidak menyokong kita. Saya sebut ini untuk mengingatkan diri saya soal
keberuntungan dan keberkekalan kuasa politik bukan sahaja di peringkat negeri tetapi juga negara," katanya.

Justeru, katanya, dengan perkembangan di dalam masyarakat sekarang, keadaan telah menuntut Umno membuat pembaharuan.

"Kalau tidak...pada pilihan raya umum akan datang senario yang kita lihat hari ini mungkin tidak akan dapat dipertahankan lagi," katanya.


Tiada ulasan: