Selasa, 27 Julai 2010

Polis Ganggu Kakitangan Suara Keadilan


SUARA KEADILAN

SHAH ALAM - Pegawai polis, ASP Rejali ak Angong dari Ibupejabat Polis Putrajaya, tengahari tadi meminta Ketua Bahagian Sumber Manusia dan Pentadbiran Pelita Koridor Sdn Bhd, Rohani Abd Rahman menghadirkan diri bagi memberi keterangan berhubung surat tunjuk sebab berhubung isu Felda terbitan Suara Keadilan yang diserahkan pihak Kementerian Dalam Negeri pada 2 Julai lepas kepada Pengarang Suara Keadilan, Dzulkarnain Taib.

Rohani ketika ditemui berkata ASP Rojali meminta beliau pergi ke balai polis Petaling Jaya atau di Putrajaya untuk memberikan keterangan sama ada beliau ada menerimanya atau tidak surat itu pada 2 Julai lalu.

"Saya telah memberikan keterangan secara lisan di telefon tetapi pegawai polis itu tetap meminta saya hadir ke balai polis untuk merekodkan kenyataan saya secara bertulis.

"Menurut pegawai polis itu, ada lebih kurang empat atau lima soalan lagi yang harus dijawab tetapi saya menegaskan supaya satu surat dikeluarkan secara rasmi supaya saya boleh menghadirkan diri ke balai polis tanpa rasa takut atau keselamatan saya terancam," ujar beliau.

Tambah Rohani, pegawai polis tersebut kemudiannya bersetuju itu supaya satu surat rasmi diserahkan kepada beliau dan menetapkan tarikh yang sesuai bagi beliau merekodkan keterangannya secara bertulis.

Pada 2 Julai lalu, pihak KDN menyerahkan surat tunjuk sebab yang dialamatkan kepada pengarang Suara Keadilan, Dzulkarnain Taib berhubung isu Felda terbitan lidah rasmi KEADILAN itu.

Antara kandungan surat tersebut, Panel 13 KDN tidak berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh Suara Keadilan yang bertarikh 29 dan 30 Jun mengenai perkara di atas.

"Panel 13 Kementerian juga tidak berpuas hati dengan penjelasan di para 5 dan11 di dalam surat jawapan yang diterima pada 30 Jun berkaitan dengan tajuk "Felda Bankrap" itu.

"Sila ambil perhatian bahawa Panel 13 KDN belum lagi mempertimbangkan permohonan pembaharuan permit penerbitan bagi Suara Keadilan. Justeru itu, permit bagi penerbitan Suara Keadilan kini tidak lagi sah sehingga satu keputusan mengenainya dikeluarkan oleh Kementerian ini," jelas kandungan surat itu lagi.

Tiada ulasan: