Bagaimanapun Hosni mengakui kehadirannya dalam program Jumaat yang berakhir dengan penyerahan borang adalah kerana diberitahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mahu bertemu dengan mereka yang pernah belajar di Timur Tengah.
“Saya hadir ke program ini kerana diberitahu oleh seorang tokoh agama Umno bahawa Perdana Menteri mahu menemui pelajar-pelajar yang pernah belajar di Timur Tengah.
“Jadi apabila diberitahu begitu saya tanpa syak wasangka bersetuju untuk mengikut tokoh agama menghadiri program itu.
“Namun apabila sampai ke sana lain pula jadi apabila mendapati ramai wartawan dan jurukamera berada di situ sebelum dimaklumkan Perdana Menteri akan hadir untuk menerima borang keanggotaan Umno,” katanya kepada The Malaysian Insider ketika ditemui pada program ceramah Ulama Muda Masuk Umno dekat sini.
Hosni, 27, mendakwa dia tidak pernah melihat dan mengisi sebarang borang keanggotaan Umno.
“Saya pegang borang pun tidak macam mana nak isi? Jadi bagaimana boleh kata saya masuk Umno?
“Lagipun saya memang tiada niat untuk masuk Umno... belajar agama tinggi nak masuk Umno buat apa?” kata pensyarah Maahad Tahfiz Integrasi Sains Teknologi Selangor itu.
Sambil menjelaskan dia juga bukan ahli PAS, Hosni berkata, dirinya menggunakan ceramah malam tadi untuk menjelaskan kedudukan dalam isu semasa ini.
Hosni berkata dia tidak mahu orang salah faham dengan apa yang berlaku Jumaat lalu.
Difahamkan selain Hosni terdapat tiga orang yang mendakwa diri mereka “diperdaya”.
Bagaimanapun dakwaan mereka telah dinafikan oleh bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim dan jurucakap kumpulan 40 ulama muda yang menyertai Umno.
Selasa lalu, jurucakap kumpulan 40 ulama itu, Fadlan Mohd Othman menafikan empat orang yang mendakwa diri mereka “diperdaya” untuk memasuki parti BN itu sebagai ahli kumpulan tersebut.
Kumpulan 40 ulama ini menyerahkan borang penyertaan ahli Umno kepada Najib sebelum mesyuarat Majlis Tertinggi Umno.
Sehubungan itu, Fadlan berkata keempat-empat nama mereka yang mendakwa telah diperdaya memang tiada dalam senarai 40 borang yang dikemukakan kepada Najib.
“Nama mereka itu memang tiada dalam senarai saya, saya pun tidak kenal mereka... memang tidak ada.
“Saya sendiri tidak pernah jumpa mereka,” kata Fadlan.
Senarai 40 nama itu merupakan kumpulan pertama ulama menyertai Umno.
Dakwaan mereka diperdayakan muncul sehari selepas kumpulan 40 itu menyerahkan borang permohonan keahlian menyertai Umno.
Ketika mengulas lanjut, Hosni berkata dakwaan yang dikatakan dia dan tiga orang ulama muda itu tidak diundang adalah tidak benar sama sekali.
“Kalau saya tidak diundang saya tidak akan datang tapi ini diundang sebab itu saya datang.
“Selain itu ketika berada di sana Shahidan melayan saya dengan baik sekali, kalau tidak diundang kenapa tidak sahaja suruh kami pergi,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan