Jumaat, 16 Julai 2010

Pengumuman Kenaikan Harga 'Secara Sembunyi', Persatuan Pengguna Kesal


TVSELANGOR

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam, Selangor, Datuk Dr. Jacob George kesal dengan tindakan kerajaan yang tidak memaklumkan kepada rakyat terlebih dahulu berikutan kenaikan lima barangan keperluan harian.

Ujar beliau, kerajaan seharusnya bertindak proaktif dan tidak membebankan masyarakat pengguna khususnya mereka yang berpendapatan rendah.

"Hanya saya dukacita, bila buat pengumuman itu, buat dengan cara sembunyi. Tidak perlu buat seperti itulah lain kali. Seminggu sebelum itu tolong beri satu tarikh. Beritahu pada masa ini, kita sudah ada masalah dan kita akan tarik balik 10 atau 5 sen.

"Jadi minda kita sedia, boleh kita buat adjustment sikit," katanya.

Dr Jacob sebaliknya menggesa kerajaanmempertimbangkan pemberian subsidi kepada syarikat-syarikat milik kerajaan dan juga pemberian subsidi gas kepada Penjana Kuasa Bebas (IPP).

Beliau juga mencadangkan satu jawatankuasa dibentuk bagi memastikan bantuan subsidi kepada kelompok sasaran, benar-benar kesampaian.

"Rayuan saya masih sama. Kita tidak mahu monopoli kepada gergasi-gergasi yang bawa masuk gula dan sebagainya. Di sanalah kita nampak ada salah guna kuasa dan macam-macam cerita.

"Kita tarik balik subsidi dan pertolongan yang diberikan kerajaan dari atas ke bawah. Kita jangan mula dari atas ke bawah, macam selalu. Kita target orang-orang atasan. Korporat GLC. Orang yang dapat subsidi, kita potong dari atas," katanya.

Tiada ulasan: