Ramai membuat spekulasi ekoran tahap populariti Najib dikatakan sudah mencecah paras 70 peratus dan berdasarkan beberapa perkembangan sosiopolitik semasa termasuk ucapan serta pelancaran polisi-polisi baru.
Sehubungan itu, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menjangkakan, paling cepat pun Najib selaku Perdana Menteri hanya akan membubarkan Parlimen pada 2012 jika tidak mahu menggunakan sepenuhnya mandat semasa yang hanya akan berakhir Mei 2013.
“Lama lagi, saya rasakan 2013... apa mahu cepat-cepat, penatlah,” kata beliau dengan ketawa besar dalam pertemuan eksklusif dengan The Malaysian Insider di sini.
“Jauh, jauh,” kata Abdul Aziz yang bagi beliau pilihan raya umum ke-13 merupakan yang pertama selepas mengambil alih jawatan itu tahun lepas.
“Tak ada, saya tidak melihat,” kata beliau sambil ketawa besar apabila diajukan soalan sama ada pilihan raya umum ke-13 kemungkinan diadakan bila-bila masa dari sekarang ataupun awal tahun depan.
Abdul Aziz meletakkan tiga pertimbangan mengapa Najib tidak mungkin memanggil pilihan raya dalam waktu terdekat ini.
“Satu kerana tempoh lima tahun mandat masih jauh, kedua Datuk Seri Najib baru sahaja jadi perdana menteri, dan ketiganya polisi-polisi beliau baru sahaja dilancarkan... macam-macam polisi beliau,” kata Abdul Aziz.
Pilihan raya umum ke-12 diadakan pada 8 Mac 2008.
Dua perdana menteri sebelum memanggil pilihan raya umum pertama mereka dalam tempoh enam hingga 12 bulan.
Selaku Pengerusi SPR sejak Januari 2009, beliau telah terlibat dalam pengendalian 10 pilihan raya kecil setakat ini.
“... ikut kita punya tempoh (mandat semasa) sampai tahun 2013. Tetapi kalau anda tanya saya, paling cepat pun tahun 2012, jika anda tanya sayalah... kalau saya perdana menteri,” kata bekas ketua setiausaha Kementerian Dalam Negeri ini.
Berdasarkan pengalaman sebagai bekas kakitangan awam hampir tiga dekad, Abdul Aziz yang ditanya bila agaknya kemungkinan Parlimen akan dibubarkan memberitahu: “Mengapa mahu terlalu awal? Mengapa hendak tergopoh-gopoh?”
Mengikut undang-undang negara perdana menteri boleh mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen. Ia dilihat sebagai ‘hak eksklusif’ seorang perdana menteri.
Abdul Aziz juga berkata, kenyaatan-kenyataan pemimpin kanan Umno-BN sejak dua minggu lalu yang meminta ahli-ahli parti bersedia sebenarnya hanya bertujuan memberi amaran agar pengikut dan penyokong mereka tidak selesa dengan kedudukan semasa.
Pemimpin Pakatan Rakyat juga telah meminta ahli-ahli agar bersiap sedia.
“Melainkan tujuannya mendesak ahli-ahli parti sedar, bekerja keras, jalankan program-program parti, bersatu, ikut ketua, kita ada orang dan kumpulan yang perlu kita kena hadapi.
“Yang itu bagi saya ingatan yang baik, kalau tidak anda rasa selesa, makan cukup, rumah ada, isteri ada, anak ada... (ada perasaan) mengapa mahu risau,” katanya.
“Tetapi, saya bukan perdana menteri, Datuk Seri Najib perdana menteri...,” kata beliau sambil menambah, Najib selaku Pengerusi BN sudah pasti mahu melihat aspek keperluan bersiap sedia di kalangan mereka wujud sepanjang masa.
“Beliau mesti melihat soal itu, itu pandangan saya. Beliau mesti melihat pada persiapan parti, parti bersatu padu atau tidak, parti kukuh atau tidak... kemudian kesemua parti komponen (BN), mesti bergerak, Datuk Seri Najib gembira dengan prestasi mereka, berpuas hati atau tidak... itu di peringkat parti.
“Kemudian kena tengok dari segi rakyat... sambutan rakyat, kemudian kerajaan pula dari segi pelaksaanan dasar-dasar kerjaan,” kata beliau yang pernah berkhidmat sebagai setiausaha kerajaan negeri Selangor.
Oleh itu jelas Abdul Aziz, pilihan raya umum tidak mungkin diadakan dalam waktu terdekat kerana pentadbiran Najib “baru hendak masuk gear kedua.”
“Kalau tanya saya baru masuk gear kedua. Beliau baru sahaja jadi perdana menteri, sudah berapa lama? Boleh anda bayangkan?
“Baru sahaja, saya lagi lama menjadi pengerusi (SPR)... (beliau) baru satu tahun tiga bulan, sudah mahu buat pilihan raya ke? Hai, tak tahulah saya.
“... maknanya biar kita (SPR) laksanakan dengan betul-betul (persediaan) terlebih dulu, itu pandangan saya, di mana kita (SPR) sudah pun melakukan (bersiap sedia), kemudian (aspek) ekonomi dunia, ekonomi negara, keadaan rakyat, banyak faktor, musim dan sebagainya yang akan diambil kira (oleh perdana menteri sebelum Parlimen dibubarkan),” kata Abdul Aziz.
Ditanya apakah perkembangan semasa boleh dianggap sebagai satu bayangan atau petanda ke arah pilihan raya umum tergempar, Abdul Aziz dengan penuh keyakinan berkata: “Ini (mandat) sampai Mei 2013. Nak buat tahun depan? Hey...”
“Ini pandangan saya, kalau saya perdana menteri saya tidak akan melakukan, saya rasa tidak,” hujah beliau.
Mengenai kenyataan pemimpin-pemimpin Umno ketika merasmikan persidangan perwakilan baru-baru ini, Abdul Aziz berkata, beliau tidak melihat ia sebagai faktor asas ke arah pilihan raya umum tergempar.
“Itu tujuannya supaya kita sentiasa bersiap sedia, bermakna selalu bersedia. Apabila bersedia... untuk melawan musuh, kita mesti sentiasa bersatu, sentiasa melaksanakan program, mesti ada program, mesti ada polisi, mesti ada agenda,” katanya.
Abdul Aziz menolak andaian bahawa jangkaan peribadi beliau itu juga berdasarkan kemungkinan SPR masih belum bersedia ke arah pilihan raya umum ke-13.
“Kami bersedia sepanjang masa,” kata beliau menjawab, jika pun perdana menteri memanggil pilihan raya umum pada tahun depan.
“Tapi mustahil, mustahil jika anda tanya. Jika anda tanya saya. Kalau saya perdana menteri lah, tapi yang tahu tarikh adalah perdana menteri,” katanya.
Justeru tegas Abdul Aziz, tidak mungkin Najib akan memanggil pilihan raya umum awal depan memandangkan dasar-dasarnya yang masih baru.
“Tak ada, tak ada, tak ada, tak ada,” tekan beliau dengan penuh yakin.
“Ini baru berputik. Kalau kamu tanya saya... ini baru gear satu dan baru nak masuk gear dua, ia (gear) sampai lima... mengapa hendak tergopoh-gopoh?” kata beliau sambil menyifatkan momentum kepimpinan Najib baru sahaja mula ‘panas’.
Sambil menggunakan analogi lagu, Abdul Aziz berkata: “Ini serupa lagu, yang baru hendak popular. Bila lagu baru dekat-dekat hendak popular, jangan potong. Biarlah orang dengar dulu, sampai semua orang boleh nyanyi.”
“... (sekarang) ini baru bulan Julai 2010, dan ada lagi Julai 2011, Julai 2012, berapa tahun lagi? Anda boleh melakukan banyak benda, buat apa nak buat cepat-cepat,” kata Abdul Aziz dengan menjustifikasikan alasan beliau sambil bergurau, “yang tahu semua ini ialah Datuk Seri Najib.”
“Ini saya punya pandangan (sahaja), saya menyelami hati beliau. Kalau saya perdana menteri, saya tidak akan berbuat demikian,” ujar beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan