Jumaat, 16 Julai 2010

JPM terima RM4 bilion biaya operasi 2010

TERKINI

KUALA LUMPUR — Pentadbiran Datuk Seri Najib Razak hari ini mendedahkan telah memperuntukkan dana sejumlah RM3.956 bilion untuk membiayai operasi Jabatan Perdana Menteri (JPM) tahun ini.

Dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen DAP Nga Kor Ming, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz berkata, peningkatan kos adalah ekoran langkah mewujudkan “agensi-agensi baru” dan juga jawatan-jawatan sokongan.

Bilangan kakitangan awam di Jabatan Perdana Menteri juga meningkat daripada 21,045 orang pada 2003 kepada 43,544 orang tahun ini.

“Menghabiskan RM4 bilion bagi hanya satu jabatan kerajaan menelan kos lebih lima kali ganda berbanding pembiayaan kerajaan negeri Perak.

“Negara berhadapan dengan defisit sejak 15 tahun lalu, kita masih mempunyai jumlah tenaga kerja sektor awam paling ramai di dunia dan begitu juga anggota Kabinet,” kata Nga.

Wakil rakyat Taiping ini mendakwa tujuan beberapa jabatan kerajaan dalam Jabatan Perdana Menteri sendiri memerlukan penjelasan lanjut.

“Salah satu agensi yang diwujudkan ialah menguruskan pejabat bekas perdana menteri Tun Abdullah Badawi? Sejak bila bekas perdana menteri-perdana menteri memerlukan pejabat? Jadi, apabila Najib berhenti daripada menjadi perdana menteri, kita perlu mewujudkan satu pejabat bagi beliau?

“Bagaimana dengan Tun Dr. Mahathir? Di mana pejabat beliau? Adakah kita memerlukan satu lagi pejabat bagi beliau?” kata Nga.

Peruntukan belanja mengurus JPM tahun ini telah meningkat melebihi sekali ganda daripada 2003 berikutan pertambahan agensi di bawah pentadbirannya.

Ia termasuk kemasukan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi, dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) ke bawah tanggungjawab jabatan itu pada tahun lepas.

Selain itu, pewujudan agensi baru termasuk Urusetia Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman, Unit Kerjasama Awam Swasta, Pejabat Urusetia Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah (Ahmad Badawi), Sekretariat Majlis Penasihat Ekonomi Negara, Pejabat Pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi Negara dan Unit Pelaksanaan dan Prestasi (Pemandu), telah meningkatkan jumlah kakitangan jabatan itu.

Peruntukan perbelanjaan mengurus JPM tahun ini adalah sebanyak RM3.9 bilion berbanding 2003 dengan RM1.5 bilion untuk perbelanjaan, malah peruntukan belanja mengurus JPM tahun lepas terpaksa ditambah sebanyak RM130 juta daripada peruntukan asal yang diluluskan iaitu sebanyak RM3.6 bilion, dengan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM3.7 bilion, katanya.

Sebelum ini, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi terletak di bawah bidang kuasa JPM pada 2004 sebelum diletakkan di bawah Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan pada 2008 manakala LPKP pula di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi sebelum kedua-duanya dirombak dan diletakkan di bawah JPM pada tahun lepas.

Nazri berkata dengan ini jumlah kakitangan itu untuk tahun ini adalah seramai 43,544 orang di mana daripada jumlah tersebut, kumpulan pengurusan tertinggi adalah seramai 384 orang, pengurusan dan profesional seramai 9,736 orang dan sokongan seramai 33,424 orang.

Ini jauh lebih banyak berbanding dengan jumlah kakitangan jabatan itu pada 2003 yang hanya seramai 21,045 orang dengan 136 orang di bawah kumpulan pengurusan tertinggi, pengurusan dan profesional seramai 4,781 orang dan sokongan seramai 16,128 orang, katanya.

Selain itu, jabatan dan agensi sedia ada di bawah JPM turut mengalami pertambahan perjawatan termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Unit Permodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu), Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Bahagian Pendidikan Awal Kanak-Kanak (Permata), katanya.

Tiada ulasan: