Jumaat, 2 Julai 2010

Jalan utama merekah, putus

JALAN di Kilometer 36, Jalan Kota Kinabalu-Tamparuli, terputus dua akibat tanah runtuh.

Oleh Johary Indan


TAMPARULI: Masalah air bertakung di paya berhampiran Kilometer 36, Jalan Kota Kinabalu-Tamparuli yang menyebabkan saluran parit tersumbat sejak kira-kira dua bulan lalu, menemui kemuncaknya malam Selesa lalu, apabila laluan itu merekah dan terputus dua.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 9 malam dan dengan sendirinya memutuskan hubungan laluan kenderaan dari ibu negeri dan pantai timur Sabah.

Difahamkan, masalah air bertakung di bawah laluan itu sudah dimaklumkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) beberapa minggu lalu tetapi tiada tindakan diambil bagi membersihkan saluran air berkenaan.

Kelmarin, lalu lintas dari arah Kota Kinabalu dan sebaliknya yang melalui daerah ini, dilencongkan menerusi Jalan Bontoi oleh JKR bagi membolehkan pengguna meneruskan perjalanan.

Pemaju Mukim Tamparuli, Ah Hill Atub, kesal dengan kelewatan JKR bertindak menangani masalah itu hingga menyebabkan semua pihak terutama pengguna jalan raya terpaksa menghadapi kesulitan.

Katanya, Penolong Pegawai Daerah Tamparuli, Edip Abun; Kapitan Cina Tamparuli, Soong Ket Siong dan Jawatankuasa Keselamatan Kemajuan Kampung (JKKK) Kampung Bontoi sudah melaporkan perkara itu kepada JKR Tuaran.

"Bagaimanapun, belum sempat JKR membersihkan saluran air bawah jalan raya itu, laluan berkenaan runtuh dan hampir meragut nyawa seorang pemandu lori," katanya kepada Berita Harian.

Tinjauan Berita Harian semalam mendapati, kerja membaiki laluan yang runtuh itu belum dilakukan tetapi tanda amaran sudah diletak sepanjang laluan dari kedua-dua arah.

Ah Hill berkata, JKR tidak sewajarnya menunggu lama untuk menangani masalah air bertakung berhampiran jalan itu kerana ia membabitkan keselamatan awam.

"Berikutan kejadian itu, enam rumah di Kampung Bontoi berhampiran laluan terbabit dilanda banjir kilat selepas laluan berkenaan putus," katanya.

Penduduk, Bitol Kahong, 50, berkata perkara itu wajar menjadi pengajaran kepada pihak berkenaan supaya lebih cepat bertindak pada masa akan datang.

"Jangan tunggu ada nyawa melayang baru hendak membaiki kerosakan," katanya.

Tiada ulasan: