Ahad, 11 Julai 2010

Felda Didakwa Sekat Peneroka Raih Kekayaan

Oleh Rusnizam Mahat


SHAH ALAM - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) didakwa menggunakan Akta Penempatan Berkelompok 1960 (GSA) untuk terus menindas masyarakat peneroka berhubung soal pemilikan tanah.

Pengerusi Pertubuhan Anak-anak Peneroka Felda (Anak), Mazlan Aliman berkata melalui akta ini, peneroka Felda kehilangan hak mereka di mana peneroka tidak memiliki sebarang hak terhadap tanah milik mereka meskipun selepas melangsaikan hutang dengan Felda.

Beliau berkata Felda yang pada satu masa dahulu diwujudkan untuk membantu masyarakat Melayu dan penduduk luar bandar daripada belenggu kemiskinan kini dilihat tidak lagi berupaya membela nasib golongan peneroka.

Agensi itu kini dilihat lebih mengutamakan kepentingan korporat dengan memerah hasil dan keringat masyarakat peneroka dengan memanipulasi kekayaan yang telah diusahakan peneroka.

"Akta Penempatan Berkelompok ini sesuai pada peringkat awal kerana akta ini digunakan untuk mengawal kepentingan kerajan dengan menyusun masyarakat dan menghapuskan kemiskinan penduduk luar bandar. Tetapi apabila suasana berubah, wujud percanggahan dari segi pemilikan harta pusaka dan berlaku syarat pelanggaran antara kuasa kerajaan pusat dan kuasa kerajaan negeri di tanah Felda.

"Akta ini telah dimanipulasikan untuk kepentingan kerajaan. Masyarakat peneroka kini telah diikat kaki dan tangan dan mereka tidak bebas untuk bersuara. Akta GSA telah dimanipulasikan demi kepentingan kerajaan yang memerintah," tegas Mazlan ketiuka dihubungi Suara Keadilan.

Katanya, akta itu telah menjadi instrumen yang bertentangan dengan matlamat asal Felda untuk mengurangkan jurang kemiskinan dengan matlamat akhirnya menyerahkan 10 ekar tanah kepada peneroka.

Kini katanya, tanah peneroka diserahkan kepada Felda Plantations Sdn Bhd untuk diuruskan dengan menjadikan golongan peneroka sebagai petani-penyewa, manakala peneroka dibayar antara RM1,200 hingga RM1,500 sebulan dalam bentuk pendapatan tetap yang sebenarnya diberikan dalam bentuk pinjaman.

Keadaan itu menyebabkan peneroka terus menanggung hutang dan bebanan di usia emas mereka.

Jelas beliau lagi, kekayaan yang dihasil peneroka telah dibolot oleh Felda dan anak-anak syarikatnya sedangkan peneroka tidak mendapat sebarang faedah dan diberikan tempat dalam pentadbiran agensi itu.

"Apa yang dirasai oleh 43 anak syarikat Felda, peneroka tidak mendapat gambaran sebenar keuntungan Felda.

"Salah satu contoh kezaliman dan ketidakadilan ialah peneroka yang behutang 20 tahun lamanya dibebankan lagi dengan hutang. Kenapa harus mereka menandatangani perjanjian yang membolehkan Felda menguasai mereka sampai bila-bila. Inilah contoh ketidakadilan dalam agensi ini. Sedangkan hak milik mereka harus dimerdekakan dan status mereka seperti masyarakat lain.

"Kita mahu mana-mana peneroka yang ingin berdikari bebaskan mereka tanpa bebanan hutang. Kerana itu kita mahu satu formula yang lebih adil," jelas beliau lagi.

Menurut Mazlan dianggarkan seramai 25,000 peneroka di seluruh negara yang telah melangsaikan hutang mereka kini tidak lagi bersama Felda dan membuat keputusan mengusahakan tanaman mereka sendiri.

Akibatnya berbagai bentuk tekanan diberikan Felda kepada peneroka berkenaan termasuk dinafikan mendapat pelbagai bantuan tanaman semula hasil daripada caruman peneroka, skim pendidikan anak peneroka, bantuan keusahawan, skim insurans dan sebagainya.

Selain itu berlaku diskriminasi terhadap golongan peneroka yang menguasahakan ladang mereka sendiri selepas melangsaikan bayaran hutang.

Bagaimanapun katanya, golongan peneroka yang mengusahakan tanaman mereka sendiri tanpa menyambung perjanjian dengan Felda memperolehi pendapatan maksimum, berbanding peneroka yang menyerahkan ladang mereka kepada agensi itu untuk diusahakan.

"Mereka mendapat pendapatan yang maksimum lebih 90 peratus berbeza dengan peneroka yang menyerahkan ladang mereka untuk diusahakan Felda yang mendapat pendapatan jauh lebih rendah," kata Mazlan.

Tambah beliau, selama beberapa tahun kewujudannya, Anak telah berjaya memperjuangkan nasib peneroka dengan pelbagai kes pihak pengurusan Felda yang menindas mereka.

"Bertahun-tahun kita turun naik mahkamah, hantar memorandum dan membuat laporan polis kerana layanan Felda yang sangat negatif kepada golongan peneroka. Kuasa memprotes semakin besar ia jadi luka dan ibarat nanah yang telah meletup sehingga hari ini,"katanya.

Tambahnya, beliau mencabar Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri atau pihak kerajaan supaya berdebat mengenai isu penyelwengan dan kerugian yang dialami Felda.

"Saya buat cabaran untuk berdebat dan kerajaan sediakan medan dan gelangang supaya seluruh rakyat tahu siapa sebenarnya petualang sebenar samada Anak atau mereka yang menjadi petualang dengan mengambil kesempatan dan memonopoli hasil usaha peneroka Felda," tegasnya.

Tiada ulasan: